Ratu Televisyen Kesayangan Ramai, Betty White, Menutup Usia

Entertainment
1 Jan 2022 • 12:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar: Bloomberg

Menurut laporan media Amerika Syarikat, pelawak dan pelakon ikonik Betty White telah menghembus nafas terakhirnya pada usia 99 tahun semalam, tiga minggu sebelum ulang tahunnya yang ke-100.

Memetik sumber penguatkuasa undang-undang, White meninggal dunia di rumahnya pada 31 Disember 2021. Namun, punca kematiannya tidak didedahkan.

"Walaupun White hampir berusia 100 tahun, saya rasa dia akan hidup selama-lamanya. Saya sangat sedih atas kehilangan ini dan akan selalu merindui Betty,” kata Jeff Witjas, ejen dan rakan baik White dalam satu kenyataan majalah People.

Untuk pengetahuan semua, nama Betty White bukanlah calang-calang dalam industri perfileman Hollywood. Dia telah diberi penghormatan oleh Guinness World Records sebagai karyawan televisyen paling lama dalam sejarah industri hiburan.

Nama White mula muncul di kaca televisyen pada tahun 1949 dan sejak itu telah memenangi beberapa anugerah perfileman berprestij. Kemuncak kerjayanya bermula apabila memegang watak Rose Nylund dalam drama bersiri ‘The Golden Girls’.

White berkata cintanya terhadap dunia lakonan berputik dengan lakonan teater di peringkat sekolah. Tetapi, berkata ibu bapanya adalah sumber inspirasi utama sisi komedinya.

Apa yang menakjubkan, White pernah berkhidmat dalam Perkhidmatan Sukarela Wanita Amerika semasa Perang Dunia II sebelum menceburi bidang lakonan.

Berita kematian White telah mencetuskan limpahan penghormatan buat pelakon itu di media sosial.

Presiden Joe Biden berkongsi dalam hantaran Twitternya, "Betty White membuat rakyat Amerika selalu tersenyum dengan lakonannya. Dia adalah ikon negara yang akan dirindui buat selamanya."

Selain itu, pelakon Ryan Reynolds yang pernah bekerjasama dengan White juga turut berkongsi kesedihan atas pemergiannya lewat Twitter pagi tadi.

Melalui kerjayanya dalam industri hiburan, White bertemu dengan Allen Ludden, suami ketiga dan terakhirnya, ketika menjadi hos rancangan permainan ‘Password’.

White dan Allen telah berkahwin dari tahun 1963 sehingga kematian Allen pada tahun 1981. Pelakon itu tidak pernah berkahwin semula dan tidak mempunyai anak sendiri. - Getaran, 1 Januari 2022