
Kota Kinabalu: Tabs Safa Bandaraya berhasrat untuk menganjurkan satu kejohanan bola sepak belia tahun ini untuk memberikan pendedahan kepada pemain-pemain yang berlatih di bawah program mereka.
Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim berkata ia adalah satu daripada aktiviti yang akan dikendalikan oleh unit kejurulatihan Tabs pada Tahun Baharu.
“Tujuan utama adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelatih yang berada di bawah program pembangunan bola sepak akar umbi ketika ini.
“Untuk permulaan, unit kejurulatihan akan menganjurkan karnival bola sepak dalaman bawah-12.
“Ini adalah penting untuk pemain-pemain selain daripada diberi latihan dan bimbingan, mereka juga harus diberi pendedahan untuk bersaing dalam kejohanan kumpulan umur mereka,” katanya pada Ahad.
Beliau juga berharap sesi latihan yang diadakan setiap hujung minggu akan terus dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Ketika ini, kami mendapati sambutan terhadap pelatih baharu semakin meningkat dan pada masa yang sama kami mendapat kerjasama yang baik daripada ibu bapa pelatih,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan bola daripada ibu bapa dan individu termasuk naib ketua bahagian Umno Papar, Hasrul Awang Tengah dan bekas Ahli Parlimen Papar Datuk Rosnah Rashid Shirlin semasa satu majlis yang diadakan pada hari sama.
Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), David Wisom, Setiausaha Safa Bandaraya, Dg. Juraidah Abdul Rahim dan penolong ketua jurulatih Tabs, Roslan Wasli.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
