Selangor belanja RM15 juta moratorium bayaran usahawan Hijrah terjejas banjir

6 Jan 2022 • 11:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Negeri menanggung perbelanjaan RM15 juta bagi moratorium bayaran pinjaman usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang terkesan akibat banjir.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan penangguhan selama dua bulan melalui inisiatif Selangor Bangkit memanfaatkan seramai 921 usahawan yang bernaung bawah yayasan terbabit.

“Kerajaan Negeri komited untuk membantu usahawan menerima bantuan agar mereka dapat bangkit dari episod duka ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Sebelum ini, pengarah eksekutif Hijrah menjelaskan penangguhan bayaran bermula 22 Disember lalu dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata permohonan moratorium itu ditutup 29 Disember lalu dengan usahawan yang menikmati manfaat tersebut terdiri sektor pembekal, pemakanan, perkhidmatan, pertanian, penternakan dan pemprosesan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

image is not available