
Jet adalah sejenis pesawat yang menggunakan enjin khas dan membolehkan ia bergerak dengan kadar kelajuan yang tinggi. Pesawat jenis ini dicipta oleh seorang jurutera bernama Frank White yang berasal dari United Kingdom sekitar era 20-an.
Kini, jet sudah boleh dimiliki oleh ramai individu terkemuka bagi tujuan peribadi. Malah, terdapat juga penerbangan komersial yang ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan menggunakan pesawat jenis ini.
Hari ini segmen teknovasi ingin berkongsi ciri-ciri lima jet peribadi milik beberapa bintang bola sepak tersohor dunia.

Paul Pogba - Gulfstream G280
Pemain pertahanan Perancis, Paul Pogba memiliki sebuah jet peribadi Gulfstream G280 yang dibina oleh IAI (Israel Aerospace Industry). Pesawat ini kali pertama dilancarkan pada 2008 dan nama asal model jet peribadi ini ialah G250.
Ia telah ditukarkan kepada G280 pada 2011 kerana dikatakan nombor tersebut tidak membawa tuah. Model bersaiz sederhana yang tidak mempunyai permintaan ramai dalam pasaran menjadikan ia jet eksklusif.
Pesawat yang menggunakan teknologi enjin Honeywell HTF7000 ini mempunyai kelajuan maksimum sehingga 900km/j. Kabin dalamannya pula sepanjang 7.65m dan mempunyai enam kerusi mewah persendirian beserta satu kerusi panjang.
Setiap tempat duduk disediakan meja makan yang boleh dilipat, tempat membuang sampah, ruang gelas minuman dan alat pengecas elektronik serta skrin LCD. Dengan memiliki anggaran jarak penerbangan maksimum sebanyak 6,667km untuk sekali penerbangan, ia mempunyai kemampuan terbang sehingga 13,107-meter tinggi.
Harga bagi sebuah unit jet peribadi yang dibeli oleh Pogba ini bernilai kira-kira RM 98,000,000.

Neymar JR - Cessna 680
Bintang bola sepak Brazil Neymar JR pula memiliki sebuah jet peribadi Cessna 680 berwarna merah. Ia diterbangkan kali pertama pada 2014 dan dibina oleh Cessna Aircraft Company.
Mempunyai saiz yang sedikit besar berbanding model jet peribadi lain, kapasiti kabin dalaman mampu mengisi sebanyak 12 penumpang termasuk juruterbang dan mempunyai saiz 7.70 meter panjang.
Dengan menggunakan teknologi enjin Pratt & Whitney Canada PW300, pesawat ini mempunyai kelajuan maksimum sehingga 850 km/j. Ia juga mampu terbang sehingga 14,325 meter tinggi dan anggaran jarak maksimumnya pula sejauh 5,900km bagi sekali pernerbangan.
Neymar menggunakannya untuk menjelajah ke seluruh dunia dan ia dibeli dengan harga kira-kira RM 28,600,706.

David Becham-Bombardier Challenger 350
Legenda bola sepak dunia David Beckham pula memiliki jet peribadi Bombardier 350 dan merupakan pesawat yang telah dinaik taraf daripada Bombardier Challenger 300 pada 2013.
Ia berasal dari Canada dan model ini telah dipertingkatkan dengan reka bentuk dalaman yang mewah dan 20 peratus tambahan tinggi kabin pesawat yang memakan kos tambahan sebanyak RM 4 juta.
Ia mampu memuatkan sembilan penumpang termasuk juruterbang dan dan panjang kabin dalamannya ialah 7.3 meter. Dengan menggunakan enjin Honeywell HTF7350, model ini mempunyai kelajuan maksimum 882km/j.
Ia juga mampu terbang setinggi 13,716 meter dan anggaran jarak maksimumnya sejauh 5,926 km untuk sekali pernerbangan.
David Beckham hanya menggunakan pesawat peribadi ini untuk bersiar-siar bersama keluarga dan rakan-rakannya sahaja. Harga sebuah unit pesawat yang dimilikinya ini mencecah RM 107 juta.

Lionel Messi - Embraer Legacy 650
Bintang bola sepak Argentina ini memiliki jet peribadi Embraer Legacy 650 yang dibina pada 2002 dan berasal dari Brazil. Ia juga adalah model pesawat yang telah dinaiktaraf daripada Embraer Legacy 600.
Menariknya, individu yang membeli model pesawat ini akan diberikan jaminan penerbangan selama 10 tahun atau 10,000 jam penerbangan. Reka bentuknya pula agak besar dan saiz kabin dalamannya pula mempunyai 14.9 meter panjang yang mampu memuatkan 14 penumpang termasuk juruterbang.
Enjinnya pula jenis Rolls Royce AE 30007 A2 yang mempunyai kelajuan maksimum 850 km/h. Ia juga mempunyai kemampuan untuk terbang setinggi 12,000 meter dan anggaran jarak maksimum sekali penerbangan mencecah 7,200km.
Messi pernah menggunakan pesawat ini untuk pulang ke rumahnya di Argentina bagi meraikan sambutan Krismas bersama keluarga. Harga pesawat miliknya ini mencecah RM 103,600,000 seunit.

Christiano Ronaldo - Gulfstream G650
Akhir sekali ialah bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo yang memiliki jet peribadi Gulfstream dan merupakan pesawat yang paling mahal dalam kalangan pemain bola sepak lain. Model ini dibina pada 2008 dan berasal dari Amerika Syarikat.
Reka bentuk dan saiznya agak besar dan ia mampu memuatkan kapasiti maksimum 18 penumpang termasuk juruterbang. Kabin dalamannya pula 16 meter panjang. Tambahan pula, pesawat ini memiliki sebuah bilik mandi dan sistem air panas untuk digunakan.
Dengan pemasangan dua enjin jenis Rolls-Royce BR725, kelajuan pesawat ini mampu mencecah 956km/h. Tambahan pula, ia berdaya untuk terbang setinggi 15,545 meter dan anggaran jarak maksimum bagi sekali penerbangan ialah 12,964km.
Cristiano Ronaldo menggunakannya bagi tujuan melancong dan harga jet peribadi ini mencecah RM 260 juta. - Getaran, 19 Januari 2022
Sumber: Totalsportek.com


