MUDA Kumpul Dana Untuk PRN Johor

Politics
29 Jan 2022 • 5:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam selepas mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mula menggerakkan usaha mengumpul dana untuk tujuan tersebut.

MUDA memaklumkan, usaha itu dilancarkan untuk memastikan parti tersebut memenangi PRN Johor.

“Fundraising PRN Johor 2022 MUDA sudah mula! Setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan adalah 100 peratus untuk memastikan MUDA menang PRN.

“Rekod perbelanjaan juga terbuka untuk orang awam,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.

Terdahulu, Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tindakan tersebut menyaksikan PRN Johor sebagai langkah pertama parti berkenaan terlibat secara rasmi dalam politik tanah air.

“Johor adalah permulaan bagi MUDA dan MUDA adalah perubahan bagi Johor.

“So, let us build a united and prosperous Johor together. Johor Bangkit!” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebooknya, semalam.

Pada 25 Januari lalu, Pengerusi MUDA Johor Mohd Azrol Ab Rahani dilaporkan berkata, Syed Saddiq mungkin bertanding pada PRN Johor selain mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada BERSATU bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding. - Getaran, 29 Januari 2022