
Kota Kinabalu: Ratusan kakitangan pelbagai agensi kerajaan di Wisma Dang Bandang di Jalan Kampung Air di sini diarah meninggalkan bangunan selepas bangunan itu bergegar pada jam 3.30 petang, Khamis.
Gegaran itu dipercayai berpunca dari siling yang runtuh di bilik mesyuarat sebuah agensi kerajaan di tingkat 11 bangunan itu.
Antara agensi kerajaan yang ditempatkan di bangunan itu ialah Jabatan Penerangan, Jabatan Meteorologi, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kalangan pekerja.
SEBAHAGIAN kakitangan yang diarah berkumpul di tempat selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang.
Menurut jurucakap itu, semua orang awam diarah berada di tempat berkumpul yang selamat di perkarangan bangunan itu semasa pemantauan dijalankan.
“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat dua gegaran selang beberapa saat,” beliau dipetik sebagai berkata. “Kami dimaklumkan, gegaran pertama lebih kuat daripada gegaran kedua.”
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


