DUN Johor Bubar, Kerajaan Caretaker Teruskan Tugas Sebelum PRN

Politics
22 Jan 2022 • 8:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hasni pada sidang media bagi memaklumkan mengenai keputusan pembubaran DUN Johor hari ini.

JOHOR BAHRU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mempersembahkan keputusan berkenaan ketika menghadap baginda sekitar jam 5 petang tadi di Istana Bukit Serene di sini.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan beliau kira-kira jam 2 petang hari ini.

Menurut Hasni, pembubaran DUN itu dibuat untuk kerajaan negeri mendapatkan semula mandat rakyat yang sebelum ini dianggap hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

"Seperti mana kita sedia maklum, kerajaan negeri dibentuk melalui 29 kerusi daripada 56 kerusi DUN dan ini adalah majoriti mudah.

"Saya perlukan mandat baharu dan dapatkan semua mandat rakyat itu. Kerajaan yang kuat akan dapat membantu negeri dan rakyat Johor menjadi lebih maju dan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Hasni, langkah seterusnya adalah penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja pembubaran DUN disampaikan oleh Speaker, Suhaizan Kaiat  kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dengan pembubaran ini, kerajaan sedia ada akan memainkan peranan sebagai kerajaan 'caretaker' sementara menanti tarikh PRN diumumkan SPR," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasni memberitahu Barisan Nasional (BN) sudah bersedia sepenuhnya dan akan melakukan yang terbaik walaupun DUN sudah dibubarkan.

"Kita akan pastikan walaupun DUN bubar, program dan inisiatif kerajaan akan diteruskan dan PRN tidak akan menggugat perancangan dibuat dalam Belanjawan 2022," katanya. - Getaran, 22 Januari 2022