Masa untuk terima model pelancongan baharu: Matta

3 Jan 2022 • 11:36 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pemulihan industri pelancongan pada 2022 dijangka perlahan selagi situasi pandemik Covid-19 semakin memburuk tanpa tanda-tanda bila dan bagaimana ia dapat dibendung.

Justeru itu. Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) akan mengutamakan beberapa inisiatif utama tahun ini untuk memastikan kelangsungan hidup ahli-ahlinya dan memberikan mereka kelebihan daya saing sejajar dengan perkembangan semasa.

“Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) meramalkan pelancongan akan mengambil masa antara 2.5 hingga 4 tahun untuk pulih berdasarkan beberapa pertimbangan,” kata Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang (gambar) dalam perutusan Tahun Baharunya.

Beliau berkata ia termasuk berapa lama pandemik akan berlarutan dan bila rawatan akan wujud, pembatalan sekatan perjalanan dan perintah berkurung, keyakinan pengguna dan perniagaan serta langkah-langkah kerajaan.

Berdasarkan keadaan semasa dan banyak ketidaktentuan, katannya, antara langkah itu termasuk menggalakkan perniagaan domestik dengan menggunapakai model B2C (perniagaan kepada pengguna) yang agresif dengan terlibat secara langsung dengan segmen pengguna yang lebih luas dan pelbagai.

“Kami akan mempercepatkan pembabitan agensi pelancongan ke dalam program Travel Safe Alliance Malaysia bersama-sama Kumpulan Penerbangan Malaysia, MAH dan MACEOS untuk memenuhi permintaan baharu iaitu kesihatan dan keselamatan oleh pengembara dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat,” katanya. 

Persatuan itu, tambahnya, juga akan menyegerakan pelbagai program pendigitalan selaras norma perjalanan baharu untuk membantu ahli-ahlinya mendapatkan akses dan membanbitkan pasaran sumber baru muncul yang berpotensi tinggi dalam ruang digital.

Di samping itu, Tan mendedahkan Matta akan menyediakan latihan agar ahli-ahlinya menjadi lebih cepat boleh menyesuaikan diri dan relevan dalam ekonomi yang diubah oleh gangguan digital.

“Kami juga akan terus secara agresif membabitkan diri dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai banyak isu mendesak seperti pelesenan, permit kenderaan, bayaran balik syarikat penerbangan dan peraturan pelancongan lapuk yang membantutkan industri kita akan diberi keutamaan,” katanya.

Tan berkata turut menyokong penggabungan agensi pelancongan, penyatuan perniagaan dan penubuhan konsortium ekoran permintaan yang lemah pada 2022 dan penyumberan kadar yang lebih baik untuk kekal kompetitif.

“Lain-lain termasuk penjenamaan semula ejen pelancongan, terutamanya semasa pandemik ini di mana pelancong lebih menghargai keperluan bantuan ekoran pengenalan SOP yang merumitkan di pelbagai negara dan risiko terkandas di negara asing,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya menyediakan pelan hala tuju jelas mengenai pembukaan semula sempadan antarabangsa untuk pelancongan.

Pada 2020 dan 2021, Tan mengulangi bahawa Matta kekal teguh dengan matlamatnya dengan lantang bersuara dan membabitkan kKerajaan dalam usaha berterusannya untuk membantu anggota-anggotanya, khususnya berhubung bantuan kewangan dan pakej rangsangan pelancongan, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“Kami akan terus mengambil kedudukan sama, dan akan lebih agresif, untuk 2022 sambil memperkuatkan Ibu Pejabat Matta untuk memastikan ahli-ahli sentiasa dimaklumkan dan aktiviti utama dijalankan untuk manfaat ahli.

“Tahun 2022 mungkin masa yang paling sesuai untuk kita bukan sahaja membina semula tetapi untuk keluar daripada keadaan ini dengan lebih bijak dan kuat. 

“Sekarang adalah masa untuk menerima model perniagaan baharu, berani dalam kreativiti kita dan meneroka kemungkinan era baharu dalam pelancongan.”