
KOTA BELUD: Dua pemandu bernasib baik terselamat apabila berlaku pertembungan dua kenderaan membabitkan kereta Proton Iswara dengan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton di Jalan Ulu Kukut di sini, Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki, pemandu Proton Iswara berusia 42 tahun dilaporkan mengalami kecederaan manakala pemandu 4WD, lelaki berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.01 petang, tujuh anggota serta tiga pegawai bomba bantuan (PBB) dikerah ke lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Bahagian depan Iswara yang remuk akibat dari perlanggaran dengan pacuan empat roda berkenaan.
Katanya sebelum ketibaan pasukan bomba, mangsa iaitu pemandu Proton Iswara dihantar oleh pihak paramedik menggunakan ambulan ke hospital Kota Belud.
“Pasukan EMRS kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu 4WD dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Pemeriksaan lokasi kejadian dan kedua-dua kenderaan terbabit turut dijalankan bagi mencegah bahaya lain,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan jam 5.15 petang.
“Manakala punca kejadian dan anggaran kerugian dalam siasatan pihak polis,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

