Kerajaan GRS perlu diperkukuh, dikekalkan: Jasnih

Politics
31 Jan 2022 • 1:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru berusia lebih setahun perlu terus diperkukuhkan selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, kata Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasnih Daya.

Katanya, Kerajaan GRS juga perlu diperkuatkan dengan fokus utama membela Kesejahteraan rakyat dan membangun negeri ini.

“GRS merupakan nadi kepada Kerajaan Negeri hari ini, justeru kita perlu terus perkukuhkan dan mantapkan kerajaan sedia ada.

“Ini juga selaras dengan seruan dan kehendak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu Kerajaan GRS terus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun, katanya selepas mengadakan tinjauan mesra Tahun Baharu Cina (TBC) dan mengagihkan Kad TBC dan limau mandarin di pekan Tuaran, pada Ahad.

Jasnih mengulas kenyataan Bung Sabtu lepas yang mengulangi bahawa Kerajaan GRS harus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun, untuk mengelakkan berlaku pilihan raya negeri.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, “kita tidak mahu ada pilihan raya berlaku. Sebab kita di Sabah baharu sahaja mengadakan pilihan raya, baharu setahun lebih. Jadi kalau ada lagi pilihan raya, sudah tentu tidak menyenangkan rakyat dan rakyat akan marah kepada kita.”

“Sebab itu saya telah mengambil pendekatan untuk pastikan bahawa kerajaan yang kita bina ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya semasa mengulas pergolakan politik masa kini yang amat mencabar, terutamanya di peringkat nasional.

Jasnih yang menyokong kenyataan Bung menegaskan, fokus utama Kerajaan GRS ialah membangun negeri Sabah dan membela nasib rakyat ketika negeri dan negara dalam pasca pandemik Covid-19.

Katanya, pemimpin parti-parti komponan dalam GRS juga perlu mengurangkan “politiking”, sebaiknya memberi fokus membantu rakyat dan membangun negeri.

Menurutnya, rakyat telah memberi mandat kepada GRS mentadbir negeri ini, dan mereka mahu pemimpin Kerajaan Negeri GRS menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

“Sebarang usaha oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menggugat kestabilan politik sedia ada di Sabah di bawah Kerajaan GRS harus ditolak,” tegas Jasnih.

Mengulas Retreat Wakil Rakyat dan pemimpin Kerajaan GRS yang akan diadakan pada bulan Februari, beliau yakin ia akan memantapkan lagi persefahaman, perpaduan dan kerjasama dalam keluarga GRS.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.