
KOTA MARUDU: Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan sebanyak RM108.15 juta kepada Sabah bagi membantu negeri itu yang terjejas banjir baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM90.86 juta diperuntuk bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat banjir termasuk jalan raya dan jambatan yang menghubungkan penduduk Sabah.
“Sekarang ini, kita baru dapat senarai ini (kerosakan infrastruktur awam) dan senarai ini akan disemak oleh Jabatan Kerja Raya serta pihak berkaitan. Arahan saya ialah perlu disegerakan semua bukan sahaja pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) tetapi infrastruktur juga perlu disegerakan.
“Mereka yang terlibat dengan banjir mengalami kesusahan dan kita tak mahu menambah kesusahan mereka apabila infrastruktur di kawasan masing-masing juga terjejas dan rosak. Ini boleh mengganggu mungkin dari segi aktiviti ekonomi mereka, jadi kalau boleh kita segerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan BWI dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu juga, sebanyak RM1.19 juta diperuntuk bagi pemberian BWI sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir, bantuan barangan keperluan asas (RM3.67 juta) dan bantuan pembaikan kecil rumah RM5,000 (RM2.74 juta).
Ia turut meliputi baik pulih rumah maksimum RM14,999 (RM7.81 juta), bina baharu rumah maksimum RM56,000 (RM1.17 juta), baucar diskaun pembelian alat elektrik dan rebat elektrik (RM643,400) dan baucar diskaun pembaikan kenderaan (RM31,000).
Beliau berkata pengagihan BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara kini mencapai 90 peratus dan akan selesai dalam masa terdekat.
“Saya nak katakan (bantuan ini akan disalur) sebelum mereka balik (ke rumah masing-masing) kalau boleh kita bagi.
“Saya tak nak membandingkan tapi ini merupakan yang terpantas dalam sejarah negara dari segi pembahagian BWI,” katanya.
Pada Sabtu juga, Ismail Sabri menyerahkan BWI sebanyak RM1,000 dan bakul makanan kepada ketua keluarga mangsa banjir Pitas di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas.
Beliau yang diiringi Hajiji, tiba pada 2.30 petang, menyampaikan bantuan kepada 35 keluarga serta bertanya khabar kepada mangsa banjir yang hadir di dewan berkenaan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dan beberapa pemimpin masyarakat di daerah Pitas.
Seramai 319 mangsa banjir dari 129 keluarga di Pitas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak 31 Dis 2021 hingga 2 Jan 2022, dan semua mereka akan diberi bantuan itu.
Rata-rata mangsa banjir yang ditemui Bernama selepas majlis itu menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun padang ke daerah Pitas.
Majulin Angai, 42, dari Kampung Mangbusu berkata paras air banjir yang melanda kampung mereka baru-baru ini sangat tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga menyebabkan banyak peralatan rumah musnah.
“Saya pasrah dengan kejadian itu dan hari ini saya gembira dan amat bersyukur kerana bukan senang Perdana Menteri untuk datang sendiri ke Pitas untuk sampaikan bantuan.
“Jadi itu saya amat kagum dengan keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat tidak kira di mana mereka berada di pelusuk Malaysia,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Kristina Gidion, 52, dari Kampung Kabatasan Laut, berkata beliau sangat teruja dengan kedatangan Perdana Menteri ke Pitas.
“Perasaan sangat teruja kerana Perdana Menteri sendiri turun ke Pitas… kami dapat merasakan kekeluargaan satu Malaysia yang diuar-uarkan… ia benar-benar wujud apabila Perdana Menteri sendiri melihat kami sebagai mangsa banjir di sini,” katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar Pitas mendapati keadaan banjir telah pulih dengan semua mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Jumaat lalu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

