
KERAJAAN Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memulakan Tahun Baharu minggu lepas dengan melancarkan Pelan Induk Gas Sabah yang menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Dis tahun lepas.
Sebuah loji Gas Asli Cecair (LNG) berkapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) adalah antara tiga pelaburan di bawah Pelan Induk Gas Sabah ini, yang diperakui oleh Kabinet Negeri pada Oktober lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor melancarkan pelan induk itu di Menara Petronas 2 di Kota Kinabalu pada 4 Jan, suatu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membimbing pelaburan dalam sumber gas asli Sabah.
“Kemudahan LNG ini, yang pertama di negeri ini, akan memberi peluang kepada Sabah untuk mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga lebih bersih.
“Kedua, Kerajaan Negeri akan memainkan peranan lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah dengan volum gas sebanyak 120 kaki padu gas standard sehari (MMscfd) disediakan untuk pembangunan industri utama di negeri ini.
“Gas asli akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, dan Terminal Gas Sabah di Tuaran,” kata Hajij.
Sebagai tanda kemajuan hasrat ini, suatu Perjanjian Induk (HOA) dimetereikan antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Petronas untuk pembekalan 70 MMscfd gas asli, serta pertukaran dokumen HOA yang ditandatangani sebelum ini untuk bekalan 50 MMscfd gas asli, bagi kegunaan di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Datuk Harun Ismail dan timbalannya Adzmir Abdul Rahman menandatangani HOA untuk pembekalan gas manakala Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Ir. Mohamed Firouz Asnan dan Ketua Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu Malaysia Petroleum Malaysia Dr Aidid Chee Tahir.
Ketiga, pelan induk itu menekankan satu set pilihan derivatif petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan, iaitu memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara.
Hajiji berkata beberapa cadangan juga telah disyorkan, merangkumi lebih banyak aktiviti cari gali gas asli bagi memastikan bekalan mampan, pelan pembangunan komprehensif untuk Sabah mesti dirangka bagi mewujudkan lebih banyak industri tambah nilai di Sabah termasuk pembangunan hiliran petrokimia.
Sogip mesti dijadikan tapak pelaburan minyak dan gas hiliran utama Sabah pada masa hadapan, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur, katanya.
Cadangan lain ialah keperluan untuk menilai bakat tempatan sedia ada dan menambah baik mereka bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas, pembuatan dan pembinaan.
“Sebuah entiti negeri mesti dikenal pasti untuk memantau pelaksanaan cadangan Pelan Induk Gas Sabah,” katanya.
Hasil dari penyelidikan bersama yang dilakukan Kerajaan Negeri dan Petronas terhadap industri minyak dan gas untuk mendapatkan pulangan ekonomi jangka panjang bagi Sabah dan rakyatnya, Hajiji memberitahu Pelan Induk Gas Sabah telah diperakui Kabinet Negeri pada Oktober, tahun lepas.
“Kami menghargai kerjasama Petronas dengan kami dalam Pelan Induk Gas Sabah, termasuk dalam usaha untuk merangsang ekosistem pelaburan menarik dan berdaya saing bagi pelabur.
“Aspirasi saya adalah untuk Sabah mempertaruhkan tuntutannya yang sah dan melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan generasi akan datang.
“Kami akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama bagi memastikan wujudnya banyak peluang untuk rakyat Sabah membangun dan mereka akan menikmati faedah ketara dari usaha yang dijalankan,” kata Hajiji.
Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, yang turut hadir, berkata tugas Petronas sebagai pemegang amanah sumber hidrokarbon negara, komited untuk menyokong Sabah mencapai aspirasinya dengan pembangunan lestari industri gas asli negeri.
Pelan Induk Gas Sabah memberikan bukti kukuh kepada visi bersama ini dan membantu membentuk landskap masa depan.
Terdahulu, Hajiji turut merasmikan Menara Petronas 2 Kota Kinabalu, terletak bersebelahan dengan Menara Petronas 1 sedia ada di Sembulan.
Bangunan 11 tingkat berharga RM190 juta itu disambungkan ke Menara Petronas 1 melalui sambungan tiga tingkat menempatkan dewan serbaguna dan bilik mesyuarat berpusat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

