LPPR digesa buat siasatan lanjut terhadap Azam Baki

LocalPolitics
6 Jan 2022 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) digesa supaya menjalankan siasatan lanjut terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut penting bagi mengembalikan semula keyakinan orang awam terhadap SPRM.

“Saya percaya bahawa isu ini adalah berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2) yang perlu dibahaskan di dalam dewan yang mulia, pada persidangan Parlimen, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 sehari selepas titah Diraja pada 1 Mac 2022.

“Ini adalah berkenaan dengan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah atau segala aktiviti yang menjerumuskan kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini.

“Perkara ini adalah perkara tertentu berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki saham dengan jumlah melampau,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, pada Rabu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan, bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.