Talian SELamat terima 30 aduan dalam tempoh banjir

2 Jan 2022 • 8:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 2 JAN: Wanita Berdaya Selangor (WBS) menerima sebanyak 30 aduan menerusi talian SELamat dalam tempoh banjir dan pascabanjir setakat 30 Disember tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya memaklumkan panggilan diterima merangkumi pelbagai iaitu ada yang memohon bantuan kerana kesan banjir dan juga keganasan rumah tangga.

“Bagi kes memerlukan bantuan ia disalurkan secara terus kepada pusat khidmat wakil rakyat. Bagi kes penderaan ia dirujuk kepada Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC),” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Kamariah Ahmad Subki memegang plakad ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena pelancaran talian khas SELamat
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ditanya sama ada kes penderaan itu melibatkan mangsa banjir, beliau berkata terdapat kes berkaitan apabila pihaknya menerima panggilan dari jiran mereka.

“Ada kes kanak-kanak melarikan diri kerana didera bapa ketika banjir. Ada juga kes kerana tertekan akibat bencana dan kes ini telah pun berjaya diselamatkan.

“Malah terdapat juga panggilan dari mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) yang meminta dos penggalak kerana mereka bimbang dijangkiti Covid-19,” katanya.

Talian SELamat dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November tahun lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.