
IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga Myammar dan merampas 110 karton rokok pelbagai jenis tanpa cukai kastam bernilai kira-kira RM14,500 di sebuah kedai di pekan Kamunting, Bandar Kamunting dekat Taiping, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan dilakukan anggota Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan serta anggota Balai Polis Kamunting, pada kira-kira 8 malam.
“Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu mengaku adalah pemilik kepada kesemua barang rampasan tersebut serta hasil permeriksaan mendapati lesen perniagaan kedai runcit adalah atas nama isterinya,“ katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Osman berkata suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah direman empat hari sehingga Rabu depan.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
-Bernama
