12 ditahan disyaki terlibat sindiket pelaburan tidak wujud -Polis

10 Jan 2022 • 9:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 individu termasuk lima wanita dalam dua serbuan berasingan di Jalan Ampang di sini semalam, dipercayai terlibat sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata suspek berusia 23 hingga 38 tahun terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing serta dua wanita tempatan itu, ditahan dalam serbuan yang dijalankan serentak pada 8.30 malam.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi pelaburan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan pelanggan yang tinggal di luar negara,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara bahan bukti yang dirampas 32 telefon bimbit, empat komputer riba dan set modem dari premis berkenaan yang dipercayai telah beroperasi kira-kira sebulan lepas dengan sewaan sebanyak RM5,000.

Menurutnya kesemua mereka direman tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 akta sama.

Noor Dellhan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah penipuan pelaburan secara dalam talian untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran.

-Bernama