
KOTA MARUDU: Berikutan keadaan hujan lebat masih berterusan, penduduk yang terjejas banjir di daerah ini semakin meningkat selain angka mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) bertambah kepada 547 orang membabitkan 179 ketua isi rumah.
Tiga PPS telah dibuka di sini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan yang menempatkan 251 orang mangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 orang dan Dewan St. Theresa menempatkan 43 orang mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supritendan Zairolnizal Ishak berkata, sehingga jam 11.30 malam pada Sabtu, hujan lebat masih berlaku, paras air terkini di kesemua sungai utama Kota Marudu dan Pitas berada di paras waspada dan paras amaran berikutan trend air sungai semakin meningkat, bagaimanapun pemantauan diteruskan dan pasukan penyelamat sentiasa siap sedia untuk menjalankan operasi.
Menurut Zairolnizal, Sungai Bandau berada pada paras waspada manakala Sungai Bongon berada pada paras amaran.
Menurutnya, pertembungan fenomena air pasang surut laut yang diramalkan mula pasang pada sebelah petang hingga lewat malam dengan hujan secara berterusan menyebabkan beberapa buah kampung kini telah dinaiki air dan banjir dengan menenggelamkan beberapa kawasan kampung serta jalan utama.
Antara kampung yang terjejas ialah kampung Beliajung, Tongkungon, Teritipan, Tingkalanon, Sasayaon, Aya, Rajawali, Parong dan Kampung Popok Laut.
"Paras air banjir di kawasan kampung terjejas tersebut telah surut sepenuhnya kecuali di Kampung Popok Laut bermula kira kira jam 4.30 petang, bagaimanapun hujan masih turun pada sebelah malam.
Antara jalan utama dan jalan kampung yang terjejas dan tidak boleh dilalui ialah Jalan Kampung Popok Laut dan Jalan Kampung Parong.
Kira-kira pada jam 10.30 pagi pada Sabtu, Pengarah ICU Sabah bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda, ADUN Tandek, Hendrus Anding telah melawat PPS di daerah ini.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kota Marudu telah diaktifkan pada Jumaat, manakala PPS mula dibuka seawal jam 5 petang pada hari yang sama.
Antara agensi yang terlibat operasi antaranya Pejabat Daerah Kota Marudu, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
