3 Filem Animasi Menarik Yang Sesuai Ditonton Kanak-kanak dan Dewasa

Opinion
3 Jan 2022 • 10:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Sumber: Disney+

Siapa tidak kenal dengan Pixar Animation Studios bukan? Lebih dikenali dengan nama Pixar sahaja, ia merupakan sebuah studio perfileman dan pembikinan filem animasi di Amerika Syarikat. Tahukah anda bahawa pengasas Pixar adalah Steve Jobs? Ya, orang sama yang menemukan produk jenama Apple ini juga merupakan pengasas syarikat Pixar Animation Studios lebih daripada 30 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1986.

Hari ini, kalau nak dikira filem-filem animasi daripada studio Pixar ini memang banyak sekali. Kebanyakan daripada filem-filem animasi yang dihasilkan adalah menarik dan menyentuh perasaan sehinggakan penonton teringat-ingat emosi yang dibangkitkan selepas menonton filem-filem mereka.

Sejujurnya, saya sendiri suka menonton filem animasi Pixar kerana kebanyakan filem mereka membawa maksud tersirat dan membangkitkan emosi saya sebagai penonton. Beberapa filem animasi Pixar kegemaran saya adalah Up, Monster’s Inc., Finding Nemo, A Bug’s Life, Ratatouille, Wall-E, Inside Out, Big Hero 6, The Incredibles, Luca dan banyak lagi. Disini, saya ingin kongsikan tiga filem animasi Pixar yang paling saya minati dan saya rasa menarik untuk ditonton kanak-kanak dan juga orang dewasa kerana mesej dan pengajaran yang disampaikan boleh diaplikasikan dalam hidup kita seharian.

  1. Coco (2017)

Sumber: Vanity Fair

Pertama kali filem ini ditayangkan pada hujung tahun 2017 dahulu, saya menontonnya di pawagam dan berasa sangat teruja sepanjang waktu tayangan kerana latar belakangnya yang sangat menarik perhatian. Jalan cerita filem ini juga sangat bagus kerana ia lebih fokus kepada hal kekeluargaan dan semangat untuk menggapai impian. Tahukah anda bahawa jalan cerita Coco ada kaitan dengan adat orang Mexico? Jalan cerita yang tertumpu pada hari sambutan tahunan “Hari Kematian” atau Day Of The Dead itu memberi penonton kesedaran yang lebih tentang adat bangsa lain. Satu lagi, memandangkan filem Coco ini adalah filem animasi muzikal, semestinya muzik-muzik yang dinyanyikan dalam filem ini sedap didengar dan sukar dilupakan.

Jika anda ingin tahu, “Hari Kematian” ini kebiasaannya disambut orang Mexico pada akhir bulan Oktober dan menjelang awal bulan November. Tujuan mereka menyambut hari tersebut kerana mereka percaya pada hari tersebut, mereka akan bersatu semula dengan roh ahli keluarga yang sudah tiada, walaupun hanya untuk sementara waktu. Jangan lupa, kalau dah dipanggil sambutan tu, mestilah ada makanan, minuman, muzik dan kemeriahan, kan?

  1. Moana (2016)

Siapa tidak kenal Dwayne Johnson ataupun kadang kala dipanggil “The Rock”? Siapa sangka pelakon lelaki terkenal Hollywood berbadan sasa yang suatu ketika dahulu seorang penggusti di World Wrestling Entertainment (WWE) boleh menjadi suara latar animasi dan sekaligus menyanyi dalam filem animasi tersebut? Walaupun pada mulanya susah untuk percaya bahawa “The Rock” boleh menyanyi, namun bukan beliau seorang sahaja tarikan filem animasi ini. Pada pendapat saya, jalan cerita dan adat yang digambarkan dalam filem ini berdasarkan sejarah dan warisan orang-orang di Kepulauan Polinesia seperti Hawaii, Samoa, Tonga dan Tahiti itu yang lebih menarik perhatian.

Perkara lain yang membuat saya suka tentang filem animasi Moana ini ialah hubungan Moana sendiri dengan Maui. Pada mulanya, mereka berdua tidak suka satu sama lain, lebih-lebih lagi Maui kerana sifatnya yang egoistik. Namun akhirnya mereka berdua bekerjasama dan bantu-membantu supaya mereka dapat mengembalikan batu (hati) kepada Te Fitti (seorang dewi) agar tanah yang ketandusan dan keadaan laut serta pulau tempat tinggal Moana dan orang kampungnya dapat pulih seperti sediakala.

  1. Encanto (2021)

Sumber: Disney

Seperti kebanyakan filem animasi Pixar yang lain, filem Encanto ini ada kaitan dengan adat, tradisi dan cara kehidupan berkeluarga orang Colombia. Ditayangkan pada bulan November 2021, filem ini banyak menerima ulasan positif dan pujian seusai tamat tayang perdananya. Walaupun memiliki kuasa magis itu sendiri adalah suatu perkara luar biasa dan semestinya tidak dimiliki orang biasa seperti kita, namun perkara penting yang diketengahkan dalam filem ini ialah bagaimana keluarga Madrigals ini bekerjasama dan menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. 

Sama seperti sewaktu menonton filem animasi Coco dahulu, saya berasa sangat seronok sepanjang menonton filem ini kerana latar belakangnya yang sangat terperinci dan menarik.

***

Pada pendapat saya, ketiga-tiga filem animasi di atas mempunyai karakter animasi yang menarik, butiran latar belakang tanpa henti dan paling penting, pengajaran dan moral. Melalui kejadian dan pengalaman yang dilalui setiap karakter di dalam filem-filem diatas, kita boleh mengambil pengajaran daripada isu-isu yang dilalui karakter-karakter animasi ini dan cuba kembangkan fikiran kita juga. Yang pasti, ini bukan sahaja suatu tarikan kepada orang dewasa tetapi mesej-mesej halus yang positif dalam filem-filem ini juga suatu perkara yang boleh kita ajar dan terapkan kepada anak-anak kita.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.