
KUANTAN - Kemampuan pengurusan kargo di Pelabuhan Kuantan belum mencecah tahap maksimum dengan hanya 22.9 juta tan kargo diuruskan tahun lalu, berbanding kemampuan sebenar mencecah 50 juta tan setahun.
Jumlah itu juga menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu 27.3 juta tan kargo.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, kemerosotan pengurusan kargo itu berkait rapat dengan situasi pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia sejak dua tahun lalu.
"Isu penularan COVID-19 menyaksikan banyak sektor ekonomi terkesan di seluruh dunia dan ini termasuklah aktiviti perkapalan dan kargo, jadi kita boleh lihat jumlah kargo diuruskan di Pelabuhan Kuantan juga menunjukkan sedikit kemerosotan.
"Namun, kita yakin dengan potensi dimiliki Pelabuhan Kuantan dan pihak pengurusan Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) serta Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPK) juga optimis keadaan kembali pulih selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Pelabuhan Kuantan, di sini, hari ini.
Turut hadir ahli mesyuarat kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Isham Ishak.
Pada lawatan itu, Ka Siong turut melancarkan polisi hijau Pelabuhan Kuantan pada sesi lawatan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan pihak KPC dan LPK juga sedang merancang untuk kerja naik taraf pelabuhan itu secara berfasa, sebagai persediaan untuk menerima jumlah kargo lebih banyak menjelang tahun 2026.
Katanya, fasa kedua kerja naik taraf pelabuhan itu akan dimulakan sebaik sahaja kerajaan Pahang memuktamadkan perjanjian pelaburan dengan syarikat dari luar negara dan ia bakal meningkatkan kapasiti pengurusan kargo sebanyak 20 juta tan metrik setahun.
"Saya dimaklumkan Datuk (Seri) Norolazali, kerajaan Pahang mempunyai pelan pembangunan khas untuk Gebeng, jadi saya lihat ini adalah usaha serius kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan pelabuhan Kuantan itu sendiri.
"Mereka (kerajaan Pahang) juga sedang di peringkat akhir perbincangan dengan pelabur berpotensi dari luar negara dan sebaik sahaja ia selesai, saya fikir pihak KPC dan LPK juga sudah bersedia untuk memulakan kerja naik taraf dermaga baharu sepanjang satu kilometer di kawasan pelabuhan laut dalam sedia ada," katanya.
Ka Siong turut memaklumkan fasa ketiga kerja naik taraf pelabuhan berkenaan membabitkan pembinaan benteng pemecah ombak yang baharu bagi memberi lebih keyakinan kepada pelabur atau syarikat perkapalan memilih Pelabuhan Kuantan sebagai lokasi persinggahan mereka.
Selepas siap semua kerja naik taraf ini, Pelabuhan Kuantan mempunyai kemampuan menguruskan sehingga 90 juta tan kargo setahun.
"Masalahnya di sini (Pelabuhan Kuantan) ialah kita berdepan dengan ancaman monsun dan ia tidak berlaku di Selat Melaka, jadi banyak syarikat (perkapalan) memilih pelabuhan di sebelah sana, seperti Pelabuhan Klang sebagai contoh.
"Tapi, kita ada kelebihan kerana mempunyai ECRL dan sekarang kita ada (Taman Perindustrian Malaysia-China) MCKIP, jadi semua ini boleh menjadi faktor penarik kepada pelabur dari luar, jadi kita harap ECRL ini dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia dapat membantu meningkat jenama Pelabuhan Kuantan itu sendiri," katanya. - Getaran, 16 Januari 2022

