Malaysia catat 4,915 kes baharu Covid-19 hari ini

30 Jan 2022 • 6:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kes baharu positif Covid-19 pada Ahad menurun kepada 4,915 kes berbanding 5,139 kes pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak tersebut di dalam negara kepada 2,865,984.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 4,876 kes atau 99.2 peratus adalah adalah terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 39 kes lagi adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Kes tempatan yang direkodkan untuk tempoh yang sama adalah sebanyak 4,727 kes dengan 4,573 daripadanya atau 96.7 peratus adalah warga tempatan manakala 154 lagi bukan warganegara.

“Sebanyak 188 kes import pula dikesan dengan 111 daripadanya adalah warga negara dan 77 lagi adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh pada Ahad pula adalah sebanyak 3,056 kes dan sekaligus menjadikan kes kumulatif pulih kepada 2,780,771.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 14 kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan jumlah kumulatif kluster kepada 6,413 kluster dengan 301 daripadanya adalah kluster aktif manakala 6,112 adalah kluster telah tamat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar jangkitan (Rt) Covid-19 negara pada Sabtu ialah 1.14 dengan terdapat lima negeri termasuk wilayah berada pada melebihi paras kebangsaan iaitu Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing 1.20 diikuti Kedah (1.18), Perlis (1.15) dan Kedah 1.18.

Negeri yang merekodkan nilai melebihi 1.0 dan ke atas pula ialah Melaka dan Kuala Lumpur yang masing-masing mencatatkan 1.13; Selangor (1.10); Pulau Pinang dan Kelantan (1.07); Sabah dan Perak (1.04); Pahang (1.03) dan Sarawak (1.0).

Terengganu pula mencatatkan kadar jangkitan 0.93 manakala tiada kes baharu direkodkan di Labuan.