
Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berganjak daripada pendiriannya bahawa Sabah mesti dibebaskan daripada pendatang tanpa izin (PTI), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata beberapa minggu lalu, Presiden parti, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), mencadangkan supaya isu itu dibincangkan oleh penggubal undang-undang Sabah melalui jawatankuasa khas antara parti.
Bangkuai juga berkata pada Jun 2020, Ongkili telah mengetuai delegasi kepimpinan tertinggi PBS untuk menyerahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memorandum yang mengandungi cadangan untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dan mengikut perkembangan perkara berkenaan secara berterusan.
Antara cadangan itu ialah untuk Kerajaan menggunakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah dan penemuan “Projek IC” sebagai rujukan untuk menangani masalah (pendatang tanpa izin) yang sudah lama berlarutan.
Ongkili juga telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya memohon agar melaksanakan “Undi 18” di Sabah hanya selepas Daftar Pemilih Negeri dibersihkan daripada pengundi yang meragukan memandangkan jumlah pendatang tanpa izin yang ramai di negeri itu.
“Malah, PBS turut membuat temu janji dengan pengerusi SPR untuk membincangkan kebimbangan kami dan kami masih menunggu ia menjadi kenyataan, walaupun terdapat banyak tindakan susulan.
“Pendirian kami berhubung isu pendatang tanpa izin dan “Projek IC” kekal, dan PBS akan terus mencari penyelesaian kepada masalah itu,” kata Bangkuai yang juga Adun Kiulu.
“Jangan kita lupa keperluan untuk membebaskan Sabah daripada pendatang tanpa izin telah dipelopori dan merupakan antara isu utama yang diketengahkan oleh PBS sejak penubuhannya pada 1985 dan parti itu sangat konsisten dalam isu itu,” tambahnya.
Bangkuai mengulas gesaan bekas Senator PBS, Dr Chong Eng Leong agar Ongkili menyatakan pendiriannya dalam isu “Projek IC”.
Bangkuai berkata konsistensi PBS dalam isu itu terbukti dengan penubuhan biro khas mengenai pendatang tanpa izin, yang diketuai oleh seorang pemimpin kanan parti sejak penubuhannya pada 1985.
Biro itu ketika ini diketuai oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Radin Malleh yang selama ini menjadi antara yang berada di barisan depan dalam mengetengahkan isu pendatang tanpa izin.
Bangkuai berkata cadangan Ongkili untuk menubuhkan jawatankuasa khas dwipartisan adalah bertepatan kerana Negeri ini mempunyai kuasa muktamad ke atas imigresen, terutamanya sekarang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah sebahagian daripada Perlembagaan berikutan pindaan Artikel 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, baru-baru ini.
“Kami sedar akan isu yang dibangkitkan oleh Dr Chong Eng Leong tetapi adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa PBS telah mengubah nadanya mengenai isu pendatang tanpa izin. Kami akan sentiasa menentang kehadiran mereka di Sabah dulu, kini dan selamanya. Sabah adalah untuk rakyat Malaysia yang tulen sahaja,” tegas Bangkuai.
“Kami berharap apabila jawatankuasa khas antara parti dibentuk, setiap permasalahan akan dikupas bagi menentukan punca masalah ini agar dapat mencari penyelesaian yang sewajarnya,” kata Bangkuai, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

