ASUS ZenBook 17 Fold OLED Ialah Tablet Boleh Lipat Pertama Sejak Project Precog

TechnologyDigital
6 Jan 2022 • 1:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Beberapa tahun lalu, ASUS telah memperlihatkan tablet boleh-lipat pertama mereka yang dinamakan Project Precog. Ia merupakan sebuah tablet konsep yang memperlihatkan kebolehan ASUS untuk membina sebuah tablet yang boleh dilipat sebagai contoh bahawa bukan telefon pintar sahaja mempunyai kebolehan tersebut.

image is not available

Terkini, ASUS telah melancarkan tablet boleh-lipat komersil pertama mereka melalui ASUS ZenBook 17 Fold OLED. Pada saiz penuh, tablet ini hadir dengan paparan OLED bersaiz 17.3 inci dengan resolusi QHD 2560 x 1920 pixel dan boleh memperliihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan kadar segar semula 90Hz dan hadir dengan sokongan HDR 500.

image is not available

Dari segi spesifikasi dalaman, ASUS mengatakan ia menggunakan cip pemprosesan Intel yang terbaru (mungkin Alder Lake-H) dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan sebesar 1TB. Sayangnya dari segi penawaran I/O, ZenBook 17 Fold OLED ini hanya hadir dengan satu palam Thunderbolt 4 yang juga digunakan sebagai palam pengecasan dan sebuah palam audio 3.5mm.

Paparan tablet ini boleh dilipat dan diletakkan secara meninggi, memberikan pengguna sebuah panel bersaiz 12.5 inci dengan resolusi Full HD. Tablet ini juga didatangkan dengan sebuah papan kekunci Bluetooth yang juga boleh diletakkan di atas bahagian “bawah” tablet yang terlipat itu jika anda lebih biasa menggunakan papan kekunci fizikal berbanding maya.

image is not available

ASUS mengatakan bahawa butiran lanjut mengenai tablet ini, seperti penawaran CPUnya akan diperlihatkan pada pertengahan tahun ini di acara Computex Taipei kelak.