Ketua keselamatan direman tiga hari kes rasuah

12 Jan 2022 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Seorang ketua keselamatan di sebuah syarikat kontraktor direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah terhadap seorang penyelia keselamatan dua tahun lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu direman bermula Rabu selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim di Mahkamah Khas Reman Seremban pada Rabu.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Nurhayatie Saini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebelum itu suspek tiba di mahkamah pada jam 10 pagi dengan berpakaian lokap warna oren diiringi pegawai SPRM.

Berdasarkan maklumat SPRM, lelaki itu ditahan di rumahnya di Johor pada Selasa jam 8.50 pagi.

Suspek ditahan atas kesalahan meminta dan menerima suapan sebanyak RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan disiplin terhadap seorang penyelia keselamatan kerana kesalahan tidak hadir bertugas di sebuah tapak projek.

Perbuatan itu dilakukan pada 29 Julai 2020.