Semua Permohonan Kewarganegaraan Perlu Disiasat Secara Teliti - Hamzah

17 Jan 2022 • 3:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hamzah (kiri) mendengar taklimat mengenai aset baharu untuk PDRM ketika lawatan kerja pengurusan banjir di Kem PGA Kuantan, hari ini.

KUANTAN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melakukan siasatan terperinci berhubung permohonan kewarganegaraan oleh Rohana Abdulla yang ditinggalkan ibunya ketika berusia dua bulan di sebuah tadika, dekat Bentong, kira-kira 20 tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemberian taraf kewarganegaraan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan dokumen pengesahan berkaitan.

Katanya, pemberian kewarganegaraan tidak boleh diberikan secara pukal memandangkan isu dihadapi Rohana masih banyak berlaku di seluruh negara, termasuklah isu sama di Sabah.

“Kalau kita buat secara pukal, ia akan menjadi satu masalah, kerana angkanya cukup besar seperti berlaku di Sabah, Sarawak dan seluruh negara.

“Jadi, dalam kes ini, biar kita lakukan  kajian dan akan bantu kepada mereka yang memerlukan. Saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara Malaysia dan jika ada dokumen boleh membuktikannya, ia mudah untuk kita berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Hamzah mengulas kisah gadis berusia 22 tahun dijaga seorang warga emas berketurunan Cina, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan.

Rohana yang kini bekerja sebagai guru tuisyen, berharap dapat memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan sementara untuk memudahkan kehidupannya.

Semalam, gadis itu menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan mengenai kisahnya, seperti yang tular di media sosial selepas disiarkan sebuah akhbar tempatan.

Ismail Sabri menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya memaklumkan, beliau sedia membantu Rohana mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Kisah gadis tersebut mula menjadi bualan netizan Jumaat lalu selepas media melaporkan Rohana ditinggalkan ibunya, seorang warga Indonesia.

Gadis itu kemudian dijaga kira-kira 20 tahun oleh seorang wanita, Hoi Lan, yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain pernah mengalami kebimbangan (anxiety) berikutan masalah dihadapinya itu. - Getaran, 17 Januari 2022