Penutupan Gerai Sayur Di Jalan Kuhara Demi Keselamatan Awam

14 Jan 2022 • 9:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penguat kuasa MPT mengarahkan gerai sayur-sayuran haram di Jalan Kuhara ditutup. - Gambar ihsan Majlis Perbandaran Tawau

TAWAU - Penutupan sembilan gerai sayur-sayuran haram di Jalan Kuhara, di sini, dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan awam, khususnya risiko kemalangan jalan raya.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang menjelaskan, pihaknya sudah memberi tempoh tujuh hari kepada penjaja di kawasan terbabit untuk membuka binaan kekal didirikan mereka di situ.

“Amaran dan peluang sudah diberikan minggu lalu, jadi tindakan hanya diambil selepas penjaja tersebut tidak mengendahkan arahan.

“MPT terpaksa mengambil tindakan tegas dengan merampas barangan mereka,” katanya kepada media, hari ini.

Joseph berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga tidak membenarkan sebarang binaan kekal didirikan di kawasan seliaannya.

“Tindakan MPT tersebut turut mengambil kira aspek keselamatan semua pihak, baik penjaja, pembeli mahupun pengguna jalan raya.

“Kes kemalangan maut di Taman Semarak, baru-baru ini dan keadaan kenderaan bergerak laju di kawasan itu yang mengancam keselamatan awam, termasuk gerai penjaja yang terletak tidak jauh dari jalan raya, turut diambil kira  sebelum MPT menutup operasi gerai berkenaan,” katanya.

image is not available
Joseph Pang

Dalam pada itu, Joseph menjelaskan tiada kompaun dikeluarkan kepada penjaja terbabit.

“Hanya barangan tiga penjaja tempatan dan enam warga asing dirampas.

“Mereka juga dinasihatkan mengemukakan surat rayuan untuk tujuan penuntutan semula barangan dirampas,” katanya.

Semalam, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan tindakan penguat kuasa MPT menyerbu gerai sayur-sayuran di Jalan Kuhara sehingga dikecam netizen.

Segelintir mereka mendakwa tindakan itu kejam, apatah ketika pandemik COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal turut meminta pihak berkuasa menggunakan budi bicara dalam mengambil tindakan, terutama ketika ramai peniaga terjejas pendapatan akibat krisis kesihatan itu sejak dua tahun lalu. - Getaran, 14 Januari 2022