Dua Lelaki Cedera Terkena Renjatan Elektrik

8 Jan 2022 • 8:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang anggota Bomba memayungi salah seorang lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja memasang kekisi bumbung sebuah premis di Jalan Nyigu, hari ini.

BINTULU - Nasib malang menimpa dua lelaki selepas cedera terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja memasang kekisi bumbung sebuah premis di Jalan Nyigu di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata mangsa pertama adalah warga tempatan berusia 52 tahun yang melecur tahap dua.

image is not available
2 lelaki diselamatkan oleh Bomba selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja memasang kekisi bumbung sebuah premis di Jalan Nyigu, Bintulu hari ini.

Seorang lagi mangsa, katanya, yang juga warga negara Indonesia berusia 29 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“JBPM Zon 5 Bintulu menerima laporan berhubung kes itu pada jam 9.42 pagi dan menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.

“BBP Bintulu terpaksa meminta bantuan Sarawak Energy terlebih dahulu untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum usaha menurunkan mangsa yang melecur dilakukan menggunakan tangga dan pengusung,” katanya.

Wan Kamaruddin berkata, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan pula berjaya turun sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Selepas diturunkan pihak bomba, mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya. - Getaran, 8 Januari 2022