Mengamuk gara-gara tidak dapat bekalan dadah

8 Jan 2022 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KEMAMAN - Gara-gara tidak dapat bekalan dadah, seorang lelaki mengamuk dengan memegang sebilah pisau di tepi jalan berdekatan kawasan perumahan di Kampung Teluk Kalong, di sini pada Rabu.

Tindakan lelaki itu bagaimanapun mengundang padah setelah dia ditahan polis susulan laporan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 27 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang dan pihak polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 inci.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengaku mengamuk kerana tidak berpuas hati selepas sukar mendapat bekalan dadah.

"Suspek yang positif methamphetamine ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad," katanya ketika dihubungi pemberita, pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis percaya suspek dan penagih dadah di sekitar kawasan itu terputus bekalan dadah susulan penahanan beberapa pengedar dadah sejak minggu lalu.

"Saya nasihatkan supaya ahli keluarga melaporkan kepada pihak polis jika ada individu lain yang berkelakuan sama untuk tindakan lanjut," katanya.