
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat Rabu depan bagi membincangkan isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang juga anggota jawatankuasa itu berkata, beliau menerima notis pengesahan daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berhubung perkara itu, pagi tadi.
“Pagi ini menerima pengesahan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipanggil pada 19 Januari, pukul 2.00 petang di Parlimen.
“Isu yang akan kami bincang: Isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Selain Foong Hin, jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nizar Zakaria (UMNO); Anyi Ngau (Gabungan Parti Sarawak); Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS); William Leong dan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan); Datuk Azis Jamman (Warisan) dan diketuai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS).
Terdahulu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan menuntut isu melibatkan pemilikan saham Azam dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen kerana badan kawal penyelia SPRM didakwa gagal menangani perkara itu dengan sewajarnya.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang minggu lalu yang menegaskan LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Semalam, Abu Zahar menegaskan beliau sedia mengundur diri sebagai pengerusi LPPR selepas keputusannya terhadap Azam dipertikaikan pelbagai pihak.
Malah, beliau memberi jaminan, sedia disiasat pihak berkuasa atau organisasi lain pada bila-bila masa.
“Sekiranya kenyataan media saya pada Rabu lalu telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti dinyatakan, sehingga menjatuhkan nama baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan.
“Saya juga menyerahkan budi bicara ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR. Saya semestinya akan akur dengan keputusan tersebut,” katanya. - Getaran, 12 Januari 2022
