
PENAMPANG: Suspek dalam kes tikam di luar sebuah pusat hiburan di Penampang 10 hari lalu ditangkap di sebuah hotel di Limbang, Sarawak malam Khamis lepas.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan polis Penampang dalam operasi berpasukan bersama polis Limbang ketika mereka melakukan tangkapan pada jam 11 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah di sini, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek dikenali sebagai Kaw Yung Chee ditahan selepas didakwa terlibat dalam kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Seorang lelaki berusia 29 tahun maut akibat kecederaan, empat jam selepas ditikam di luar sebuah pusat hiburan di Penampang Baru, di sini, pada 3 pagi, 4 Januari, tahun ini.
Haris dilaporkan berkata, mangsa meninggal dunia di zon kecemasan Hospital Queen Elizabeth Hospital (QEH) ketika menerima rawatan.
Beliau dilaporkan berkata suspek dipercayai menikam mangsa di belakang pusat hiburan itu dan keseluruhan episod serangan itu dirakamkan televisyen litar tertutup di luar premis itu.
Polis dihantar ke lokasi selepas dimaklumkan pada 3.26 pagi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
