Kematian Tahanan Akibat Paru-Paru Berair - Bukit Aman

18 Jan 2022 • 10:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Azri Ahmad

KUALA LUMPUR - Tahanan yang maut di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan, disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pengarah Jabatan Siasatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, perkara itu disahkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, semalam

“Keputusan bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) tetap akan meneruskan siasatan.

“Siasatan akan diteruskan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya,” katanya.

Semalam, Getaran melaporkan, JIPS mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, petang kelmarin.

Tahanan terbabit adalah seorang lelaki Melayu berusia 37 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula kelmarin sehingga esok oleh Mahkamah Kota Bharu, namun ditemui mati ketika berada di dalam lokap. - Getaran, 18 Januari 2022