Mulakan Budaya Tolak Wang Daripada Calon Pilihan Raya - Rasuah Busters

Politics
27 Jan 2022 • 8:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa dalam usaha membina negara sifar rasuah. - Gambar fail

SHAH ALAM - Rakyat perlu bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih daripada isu rasuah dan salah guna kuasa, demi melakukan transformasi dalam membanteras perkara berkenaan.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sekiranya golongan terbabit rasuah dipilih sebagai pemimpin, negara akan tergugat dan menyebabkan kerosakan yang sangat membimbangkan.

“Kita harap pengundi berhenti sepenuhnya mengharapkan atau ambil wang daripada calon, di samping calon itu sendiri perlu hentikan perbuatan memberi duit. Ini yang perlu kita banteras serta-merta perkara ini.

“Justeru, bagi mereka yang dah lakukan rasuah, hentikannya dan bagi mereka yang belum, jangan lakukannya. Kita kena putuskan rantaian budaya rasuah ini daripada berleluasa dengan lebih teruk dan jijik,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di Pejabat Rasuah Busters, di sini.

image is not available
Hussamuddin Yaacub

Menurut beliau, parti politik perlu memahami segala kesalahan pilihan raya, khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya berunsur rasuah dan salah guna kuasa  seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tegas Hussamuddin, mana-mana parti perlu berhenti mencalonkan pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah pada mana-mana pilihan raya.

“Semua parti politik di negara ini sama ada pemerintah mahupun pembangkang perlu berusaha meningkatkan lagi kualiti kepimpinan, selain mengetengahkan pemimpin yang bebas rasuah dan jujur.

"Dengan usaha bersepadu ini, sama ada dalam kalangan pimpinan kerajaan atau pembangkang, isu rasuah boleh diatasi dan kita akan memiliki pemimpin yang ingin memperjuangkan rasuah dengan tegas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, usaha membanteras jenayah itu akan lebih berjaya dan negara akan menjadi makmur apabila ditadbir urus oleh pemimpin bebas rasuah.

“Rasuah mampu menjejaskan sistem pemerintahan, pertahanan, ekonomi, sosial, malah melibatkan hukum-hakam dalam agama Islam sebagai agama rasmi.

“Jenayah rasuah perlu dilihat sebagai satu kerosakan akhlak kemanusiaan yang terburuk terhadap sesebuah negara,” katanya. – Getaran, 27 Januari 2022.

View Original Article