
RANAU: Semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Ketua Kampung perlu segera melaporkan sebarang kejadian banjir atau tanah runtuh kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Ranau untuk tindakan susulan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang turut menggesa orang ramai agar tidak membuat laporan mengelirukan dan tidak tepat berhubung situasi semasa.
Katanya, pejabat PKOB Daerah Ranau pernah menerima laporan palsu dan tidak sahih.
“Kita perlukan input segera daripada pemimpin tempatan. Jika tidak, saya harap orang ramai tidak membuat dakwaan palsu kerana ia akan mengganggu kelancaran kerja pihak berkuasa,” katanya.
Beliau membuat gesaan itu selepas mendengar taklimat mengenai tindakan diambil serta kawasan-kawasan dilanda bencana, yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir pada Selasa.
Dalam taklimat itu, Dr Joachim dimaklumkan bahawa Ranau mengalami banyak kerosakan infrastruktur iaitu jalan rosak, tanah runtuh dan jambatan gantung yang rosak.
Beliau mengucapkan terima kasih atas segala usaha yang dilakukan oleh agensi kerajaan terbabit, yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ranau, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua yang terbabit dengan PKOB Ranau diketuai Syahrin.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Jurutera Daerah Ranau, Mac Glen F.L; Penolong Pegawai Daerah, Florensia Pandasia; Pegawai Jabatan Kebajikan, Abdul Himad; Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit kepada Dr Joachim, Yubidi Gumpoyo dan Japli Sami; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani dan ASP Helvin Ribus.
Dr Joachim turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi memenuhi keperluan kakitangan PKOB di sini.
Ahad lalu, beberapa kawasan di Kundasang terjejas akibat tanah runtuh, jalan terputus dan banyak rumah musnah akibat banjir.
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Malinsau-Kaingaran, Jalan Tibabar-Lobou Kenip, Jalan Tumbalang, Jalan Takutan-Perancangan, Jalan Kawiyan dan Jalan Kundasang-Ranau.
Susulan hujan berterusan, seorang mangsa banjir juga terperangkap di Sg Mokodou yang hanya dapat diselamatkan selepas 36 jam, namun sendiri berjalan ke tempat selamat selepas cuaca bertambah baik.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

