Alami Hipotermia, Pendaki Wanita Didukung Turuni Puncak Kinabalu

21 Jan 2022 • 9:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mangsa, yang berusia 24 tahun dibawa turun menggunakan kaedah Piggy Back Carry oleh salah seorang anggota penyelamat. - Gambar ihsan bomba

RANAU - Seorang pendaki wanita terpaksa dibawa turun dengan bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami hipotermia (kesejukan melampau), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 24 tahun itu berada di kilometer 7.2 semasa menuruni puncak gunung ke Laban Rata, apabila mengalami kesukaran dan memerlukan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung ditugaskan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan MOSAR memberikan rawatan awal kepada pendaki berkenaan bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil dan selamat.

"Dia kemudian telah dibawa turun ke Panalaban menggunakan teknik Piggy Back Carry," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di Panalaban, mangsa yang beransur pulih memilih untuk berjalan sendiri ke Pondok Timpohon tanpa bantuan MOSAR.

“Mangsa juga tidak memerlukan bantuan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) atau ambulans.

“Pihak bomba menamatkan operasi berkenaan pada jam 3.10 petang selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud,” katanya. – Getaran, 21 Januari 2022