Ravi Everest Teruskan Misi Ke Puncak Tertinggi Dunia Mac Ini

19 Jan 2022 • 6:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ravichandran (tengah) bersama Pengasas MYPW, Datin Maria Abdullah (kiri) dan Jurucakap MYPW, Zulkifli Abdul Latiff (kanan) di Sidang akhbar gunung Everest pada bulan Mac ini di Plaza Damas hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Bagai isi dengan kuku. Itu perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan betapa ‘akrab’ pendaki solo negara, Ravichandran Tharumalingam dengan aktiviti pergunungan.

Apa tidaknya, walaupun pernah menjejakkan kaki di Gunung Everest pada tahun 2006, Ravichandran atau dikenali sebagai Ravi Everest sekali lagi mahu menawan puncak tertinggi dunia itu pada usia 55 tahun.

image is not available
Ravichandran memegang botol air Minuman Tenaga Malaysia Pro Wrestling (MYPW). - Gambar oleh Azim Rahman

Biarpun pada asalnya pendakian ke Gunung Everest dijadulkan berlangsung pada tahun 2020, hasrat itu terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

“Apabila melihat keadaan pandemik semakin baik, kami mengambil keputusan untuk meneruskan misi pendakian pada Mac tahun ini dan dijangka tiba di puncak gunung berketinggian 8,848 meter itu pada akhir Mei 2022.

“Setakat ini, tiada halangan yang kami terima daripada mana-mana pihak, terutama kerajaan Nepal kerana sektor pelancongan pergunungan mereka sudah pun dibuka.

“Malah, prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong juga tidak terlalu ketat, seperti dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

image is not available
Ravichandran (tengah) bersama Pengasas MYPW, Datin Maria Abdullah (kiri) dan Jurucakap MYPW, Zulkifli Abdul Latiff (kanan) memegang minuman dari MYPW sebagai penaja untuk misi ke Everest. - Gambar oleh Azim Rahman

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Minuman Tenaga Malaysia Pro Wrestling (MYPW) di Plaza Damas, hari ini.

Ravichandran menghadiri acara itu sebagai ‘testimoni’ kepada air minuman beroksigen tinggi dikeluarkan MYPW.

Mengulas lanjut, beliau berkata, segala persiapan sudah giat dijalankan pihaknya sejak Oktober tahun lalu bagi merealisasikan misi menawan Gunung Everest.

Malah, mereka dijangka berangkat ke Kathmandu, Nepal pada minggu keempat bulan Mac, sebelum memulakan misi menawan puncak Everest yang dijangka mengambil masa antara tujuh ke lapan minggu.

“Segala persiapan daripada pelbagai sudut sudah dilakukan, termasuk latihan fizikal, permit kebenaran, segala peralatan dan sebagainya,” katanya.

image is not available
Cintan Ravichandran terhadap aktiviti mendaki gunung turut meragut lapan jarinya akibat ‘frost bite’ pada tahun 2010. - Gambar oleh Azim Rahman

Mengimbau perjalanannya sebagai pendaki profesional negara, Ravichandran sudah menawan lebih 45 gunung di seluruh dunia, Gunung Everest.

Cintanya terhadap aktiviti mendaki gunung turut meragut lapan jarinya akibat ‘frost bite’ pada tahun 2010, namun sebaik pulih beliau tetap meneruskan aktiviti terbabit sehingga kini.

“Kali terakhir ekspedisi mendaki gunung diadakan adalah pada 2018 iaitu misi menawan Gunung Rwenzori, Uganda pada ketinggian 5,109 meter,” katanya. - Getaran, 19 Januari 2022

View Original Article