Mangsa Banjir Meningkat di Terengganu, Gangguan Elektrik Ambil Masa Dipulihkan

27 Feb 2022 • 2:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila merekodkan 4,463 mangsa setakat tengah hari ini.

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat dengan angka terkini mencecah 4,463 orang, membabitkan 1,315 keluarga yang ditempatkan di 91 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, selain daerah ini, bencana itu melanda Marang, Kuala Nerus, Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun

“Kemaman kekal daerah tertinggi merekodkan mangsa banjir dengan seramai 2,158 orang daripada 579 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS.

“Setiu mencatatkan peningkatan mendadak mangsa banjir apabila 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 824 mangsa daripada 250 keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Seketeriat itu berkata, mangsa di Hulu Terengganu membabitkan seramai 689 orang daripada 274 keluarga yang dipindahkan di 14 PPS, manakala Besut merekodkan 397 orang daripada 100 keluarga (20 PPS).

Menurutnya, Dungun pula merekodkan 145 orang mangsa daripada 39 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, gangguan bekalan elektrik di Terengganu akibat hujan lebat dan ribut berterusan sejak beberapa hari lalu dijangka mengambil masa lama untuk dipulihkan.

Jelasnya, ia berpunca daripada kejadian pokok tumbang yang menghempap tiang dan talian.

Antara kawasan terjejas, katanya, adalah Kuala Terengganu, Kuala Berang, Kuala Nerus, Marang dan Setiu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pepasangan elektrik rosak.

“Pasukan teknikal berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik dengan mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja pemulihan bekalan,” katanya.

Selain Terengganu, masalah gangguan bekalan elektrik itu dialami enam daerah di Kelantan, iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Machang. - Getaran, 27 Februari 2022