
KUALA LUMPUR - Pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di bandar memiliki kepadatan penduduk tinggi, seperti di Shah Alam adalah antara pendekatan jangka panjang yang dirancang kerajaan bagi mengatasi banjir di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga bercadang membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan, seperti ‘Sponge City’ di China dan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ di Belanda.
“Ia adalah antara 17 perkara dikemukakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir secara jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Ismail Sabri berkata, banjir yang melanda negara baru-baru ini memberi kesan amat besar kepada rakyat.
Katanya, bencana itu bukan isu baharu, malah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.
Beliau berkata, kesan banjir pada Disember lalu turut mengakibatkan negara mengalami kerugian sebanyak RM6.1 bilion disebabkan kerosakan aset awam dan infrastruktur, kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan serta pertanian.
Justeru, katanya, kesan bencana alam itu harus diselesaikan secara tuntas kerana kerajaan tidak mahu ia terus menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.
“Antara cadangan lain KASA adalah mengenal pasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan, termasuk tandas, bilik mandi serta stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir, seperti tilam dan khemah.
“Selain itu, sekolah berasrama dijadikan PPS, manakala kawasan asrama berperanan sebagai penempatan mangsa banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kementerian itu mencadangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Jelasnya, KASA turut menyatakan supaya sungai utama dinaik taraf dengan didalam dan dilebarkan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kementerian itu memberi cadangan agar kerajaan meninggikan benteng, ban sungai dan mendalamkan parit, selain membina lebih banyak tebatan banjir dan empangan serta stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
“Turut dicadangkan adalah pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan lebih tinggi dan mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.
“KASA turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).
“Kerajaan juga dicadang melakukan pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan membangunkan sistem ramalan serta amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) dan sistem amaran awal banjir lumpur,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut dicadang menaiktaraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang, malah diminta mengawal penebangan hutan dan kelulusan pelan perancangan bandar dengan mengambil kira tentang risiko banjir.
“Mesyuarat secara dasarnya bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang dikemukakan KASA untuk menyelesaikan masalah banjir itu.
“Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif cadangan ini memerlukan dana besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, justeru mesyuarat bersetuju kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi untuk diberikan keutamaan bagi melaksanakan pelan penyelesaian bencana ini,” katanya. - Getaran, 4 Februari 2022



