
SHAH ALAM - Saban hari ramai yang menjadi mangsa 'scammer' terutama dalam urusan jual beli komputer dan telefon pintar dalam talian walaupun pelbagai usaha advokasi serta amaran diberikan oleh pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, modus operandi penjenayah berkenaan adalah dengan menawarkan harga murah yang tidak masuk akal.
"Cara dia cari mangsa adalah dengan tawarkan harga murah, tak ada benda lain.
Kebanyakannya di platform media sosial.
"Scammer ini senang sangat cari makan, hanya perlu tukar produk sahaja.
Kalau tak beli telefon, beli laptop kalau tak laptop beli beg berjenama.
"Orang awam ini tengoklah dahulu harga pasaran, buatlah perbandingan dan kalau harga laptop RM8,000 orang tawar RM2,000 kita mesti ada rasa cemburu dengan harga itu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, orang awam perlu bijak membandingkan harga pasaran runcit sesuatu produk dan mengabaikan terus jika menerima tawaran dengan harga yang tidak masuk akal.
"Kita kena ada konsep 'supply dan demand' di mana scammer ini akan tawar macam-macam produk jadi kalau kita bijak dan tak layan tak akan jadi apa-apa pun.
"Contoh harga pasaran sebuah peranti Apple iPhone berharga RM8,000 ada yang tawar harga RM800 kenapa masih nak beli sedangkan yang terpakai pun tak dapat harga sebegitu," katanya.
Mahidisham berkata, orang ramai boleh menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang diberikan oleh penjual dalam talian menerusi aplikasi Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.
"Kita ada Semak Mule CCID yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store dengan sangat mudah boleh semak nombor akaun sebelum buat pembayaran.
"Kalau dah tulis di situ nombor akaun yang kita nak berurusan itu sedang disiasat tak payahlah nak masuk duit lagi,"katanya.
Selain itu, beliau berkata, PDRM juga telah menumbuhkan pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center' yang boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari untuk sebarang pertanyaan atau bantuan membabitkan semua jenis 'scam'.
