Banjir Di Kelantan Makin Buruk, 4,432 Mangsa Dipindahkan

27 Feb 2022 • 5:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penduduk di Taman Perumahan Prima, Lubuk Jong, Pasir Mas berlindung di surau sebelum dipindahkan ke PPS Dewan Apam Putra, Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

KOTA BHARU - Situasi banjir di Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa bertambah kepada 4,432 orang membabitkan 1,580 keluarga setakat jam 2 petang, hari ini.

Mereka ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh dan Machang.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir itu membabitkan 1,440 lelaki dewasa, 1,432 wanita dewasa, 719 kanak-kanak lelaki, 706 kanak-kanak perempuan dan 135 bayi.

image is not available
Keadaan banjir di Taman Perumahan Prima, Lubuk Jong, Pasir Mas, Kelantan yang dinaiki air.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan Pasir Mas terjejas teruk dan kira-kira 100 penduduk Taman Perumahan Prima dekat Lubuk Jong yang berlindung di surau taman itu, terperangkap tujuh jam sebelum dipindahkan ke PPS.

Seorang penduduk, Siti Hariaty Bee Mohd Ismail, 39, berkata, paras air naik mendadak hingga menyebabkan dia bersama tiga anak berusia antara lima hingga 14 tahun terpaksa menyelamatkan diri dengan berlindung di surau.

Katanya, mereka terpaksa mengharungi banjir sejauh 300 meter untuk ke surau pada jam 2 pagi tadi selepas kediamannya dimasuki air setinggi hampir satu meter.

“Walaupun gelap, kami keluar rumah mencari kawasan berteduh kerana menjangkakan paras air akan terus naik berikutan hujan masih lebat,” katanya.

image is not available
Keadaan banjir di Taman Perumahan Prima, Lubuk Jong, Pasir Mas, Kelantan yang dinaiki air.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas, Kapten Pertahanan Awam Mohd Arif Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk di kawasan berkenaan pada jam 3 pagi.

Katanya, disebabkan faktor keselamatan dan keadaan gelap, anggota APM terpaksa memulakan operasi memindahkan mangsa bermula jam 8 pagi hari ini.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Apam Putra, Pasir Mas dan operasi pemindahan selesai sekitar tengah hari tadi,” katanya. - Getaran, 27 Februari 2022