BN Umum Calon 48 Jam Sebelum Hari Penamaan

Politics
21 Feb 2022 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hasni ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU - Kesemua 56 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan diumumkan 48 jam sebelum Hari Penamaan Calon.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pihaknya masih dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan senarai berkenaan.

Beliau berkata, 30 peratus calon terdiri daripada muka baharu dan kombinasi itu diyakini dapat mengukuhkan peluang parti untuk  memenangi PRN.

“Kita sudah di peringkat akhir untuk mengenal pasti semua calon dan saya melihat secara umumnya Johor mempunyai jumlah muka baharu yang ramai, termasuk calon muda di bawah umur 40 tahun.

“Saya yakin ia mampu memperkuatkan peluang BN untuk berjaya dalam pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor di sini, hari ini.

Pada 28 Januari lalu, UMNO dan BN Johor dilaporkan akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan calon muda seperti kehendak masyarakat dan akar umbi.

Hasni dilaporkan berkata, pemilihan calon akan mengambil kira keperluan semasa, termasuk pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan secara automatik Undi 18. - Getaran, 21 Februari 2022