
SHAH ALAM, 27 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dua minggu lalu meluluskan portfolio baharu iaitu perubahan iklim yang diterajui Ahli Dewan Negeri Kajang, Hee Loy Sian.
Loy Sian berkata berikutan itu ia menjadikan jawatan yang disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.
“Mereka minta perkataan itu dimasukkan supaya mudah untuk berbincang mencari penyelesaian berhubung isu perubahan cuaca terutama membabitkan banjir,” katanya ketika temu bual bersama Selangor Journal baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa terdiri daripada individu berpengalaman dan pakar perubahan iklim termasuk badan bukan kerajaan.
“Jawatankuasa ini bertujuan merangka strategi bagi mengenal pasti punca berlakunya perubahan iklim dan bagaimana kita mahu mengurangkan pembebasan karbon di Selangor.
“Kita sudah kenal pasti beberapa calon dan masih dalam fasa perbincangan. Mereka memberi maklum balas yang baik dan sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menangani isu ini,” katanya.
Mengenai portfolio baharu itu, Loy Sian berkata tiada banyak perbezaan kerana beliau turut menyandang portfolio alam sekitar.
“Saya tidak rasa banyak perubahan kerana perubahan iklim juga di bawah alam sekitar cuma sebelum ini kita tidak fokus kepada isu itu, kali ini perlu beri lebih penumpuan,” katanya.
The post Kerajaan Negeri lantik Hee Loy Sian terajui portfolio baharu perubahan iklim appeared first on Selangorkini.
