Kes Positif COVID-19 Dijangka Naik Mencecah 15,000 Sehari

6 Feb 2022 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan peningkatan kes positif COVID-19 terus berlaku buat beberapa ketika.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menjangkakan kes harian wabak berkenaan boleh mencecah sehingga 15,000 kes sehari.

“Malaysia sudah sepenuhnya ke dalam gelombang Omicron. Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi,” katanya menerusi ciapan di Twitternya, hari ini.

Khairy membuat ramalan tersebut memandangkan jangkitan positif COVID-19 sudah mencecah paras 10,000 hari ini.

Malaysia kembali merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi 10,000, apabila 10,089 jangkitan baharu dilaporkan hari ini berbanding 9,117 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini meningkat kepada 2,914,220.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy menggesa orang ramai agar mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin bagi mengoptimumkan perlindungan diri masing-masing terhadap COVID-19

Pada masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, tujuan utama vaksin COVID-19 adalah bagi mengurangkan keseriusan gejala.

“Dengan dos penggalak perlindungan anda daripada gejala serius yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital/ICU (unit rawatan rapi) lebih baik. Dapatkan suntikan dos penggalak.

“Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya. – Getaran, 6 Febuari 2022.