
SEBULAN lalu, media menyiarkan gambar-gambar mengejutkan ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong di Pahang.
Gambar yang amat dahsyat itu dirakam wartawan yang membuat tinjauan pasca banjir di kawasan tersebut.
Penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa timbunan sisa balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit. Malangnya, perkara itu dinafikan pihak berkuasa.
Bagaimanapun pada Sabtu lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memaklumkan kejayaan menumpaskan cubaan memindahkan 27 tual balak bersaiz 2.4 meter panjang tanpa permit di Hutan Simpan Lakum, Bentong.
Kegiatan itu berjaya dikesan hasil aduan orang awam berhubung aktiviti pencerobohan di kompartmen 11 hutan simpan. JPNP juga yakin ia adalah satu kegiatan haram dan sindiket itu dipercayai mempunyai pengalaman luas dalam melakukan kegiatan menceroboh hutan simpan serta memindahkan balak tanpa permit di daerah itu berdasarkan kerja-kerja mereka lakukan.
Sindiket terdiri daripada tiga individu tempatan yang mempunyai rangkaian aktiviti berkenaan terutama membabitkan pemandu lori dan pengusaha kilang papan.
Kesemua balak yang ditebang mengikut saiz ditempatkan dalam ladang kelapa sawit terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Lakum buat sementara bagi memudahkan proses pemindahan balak dipercayai akan dilakukan waktu malam.
Walaupun jarak antara Hutan Simpan Lakum dan Hutan Simpan Lentang kira-kira 30 kilometer, tetapi ini membuktikan aktiviti pembalakan secara haram memang berlaku.
Justeru, pihak berkuasa perlu berusaha keras memastikan penguatkuasaan lebih tegas dilakukan bagi memastikan kejadian di Sungai Telemong tidak berlaku lagi.

