5 Amalan Rakyat Malaysia Yang Boleh Merosakkan Buah Pinggang

Health & Fitness
23 Feb 2022 • 2:00 PM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Menurut laporan pada tahun 2020, sekitar 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat (Sumber). Malah, apa yang lebih membimbangkan adalah lebih kurang 30 peratus daripada jangkaan 106,000 pesakit buah pinggang mungkin akan terdiri daripada golongan muda menjelang tahun 2040 (Sumber).

Jika kita lihat pada statistik berikut, penyakit buah pinggang di Malaysia tidak lagi boleh diambil mudah dan setiap langkah-langkah pencegahan haruslah segera digerakkan. Meskipun begitu, terdapat beberapa amalan rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah merupakan penyumbang terbesar kepada risiko penyakit buah pinggang.

Sama ada kita sedar atau tidak, berikut adalah lima amalan rakyat Malaysia yang boleh merosakkan buah pinggang.

image is not available
Infografik kredit Harian Metro

1. Makan terlalu banyak makanan tinggi garam

Kandungan garam yang berlebihan boleh menyebabkan lebih banyak cecair dalam badan terkumpul dan seterusnya akan membebankan buah pinggang (Sumber).

Rakyat Malaysia gemar makanan yang berperisa dan masin. Lihat sahajalah di sekitar kita, di mana-mana sahaja kita melihat garam dan kicap tersedia di atas meja-meja makan. Bahkan, penambah perisa seperti Monosodium glutamate (MSG) boleh dikatakan sudah menjadi bahan asas kepada masakan-masakan di sini.

Amalan ini sepatutnya dihentikan demi kepentingan bersama. Tahukah anda kandungan garam yang sihat untuk mengelakkan penyakit adalah hanya sekitar 5g sehari sahaja yakni kurang lebih satu sudu teh garam.

2. Makan terlalu banyak makanan tinggi gula

Selain garam, makanan yang manis dan tinggi kandungan gula juga boleh menjadi punca kepada penyakit buah pinggang.

Gula menyumbang kepada obesiti yang boleh meningkatkan risiko terhadap masalah tekanan darah tinggi dan diabetes yang juga merupakan dua daripada punca utama penyakit buah pinggang (Sumber).

Rakyat Malaysia gemarkan makanan dan minuman yang manis-manis. Teh tarik dan roti kaya sebagai sarapan pagi adalah salah satu contoh menu sarapan kegemaran rakyat Malaysia.

3. Makan terlalu banyak makanan segera

Tahukah anda bahawa makanan segera boleh mendatangkan kemudaratan yang sama kepada buah pinggang seperti menghidap diabetes tahap 2 (Sumber)?

Fastfood ataupun makanan segera sememangnya sangat sinonim dengan kita. Bahkan, makanan segera juga kini sudah menjadi seperti salah satu kebiasaan dalam amalan harian pada segelintir masyarakat di Malaysia.

Harus diingatkan, makanan segera bukan sahaja kekurangan nutrien, malah mengandungi jumlah natrium yang sangat tinggi. Cuba hadkan pengambilan makanan segera sebagai salah satu langkah mula untuk mencegah kerosakkan kepada buah pinggang.

4. Pengambilan ubat penahan sakit dan supplemen yang berlebihan

Ubat penahan sakit dan supplemen mungkin boleh melegakan sakit-sakit secara sementara tetapi ianya juga akan membahayakan kesihatan buah pinggang anda.

Kita seharusnya prihatin dengan kandungan setiap ubat yang diambil dan haruslah mendapatkan nasihat serta kelulusan daripada doktor. Jangan ambil ubat dengan dos yang berlebihan kerana reaksi alahan boleh memberi beberapa kesan sampingan kepada pesakit.

5. Amalan merokok

Menurut kajian pada tahun 2011 yang dijalankan oleh Global Adult Tobacco Survey Malaysia, hampir 25 peratus rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok (Sumber).

Merokok adalah amalan yang biasa di Malaysia. Bukan sahaja dewasa, bahkan anak-anak kita pun sudah ramai yang menjadi perokok pada umur belasan tahun. Apa yang menyedihkan, masyarakat kita seperti memandang remeh perkara ini dan ianya dilihat seperti tiada kesalahan apa-apa pun.

Berdasarkan fakta yang ditulis oleh Kidney Research UK, merokok boleh membahayakan buah pinggang dalam beberapa cara seperti berikut:

  • Meningkatkan risiko anda mendapat beberapa kanser buah pinggang.
  • Membawa kepada aliran darah yang lemah ke buah pinggang dan menyebabkan kerosakan buah pinggang.
  • Menyebabkan penyakit buah pinggang diabetik yang merupakan punca paling biasa kegagalan buah pinggang.


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.