Misi kemanusiaan bukan iktiraf kerajaan Afghanistan

Politics
22 Feb 2022 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PETALING JAYA - Misi kemanusiaan ke Kabul, Afghanistan bukan untuk mengiktiraf kerajaan di sana tetapi hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"Kita memantau perkembangannya dengan rapat, ada parameter ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga Kerajaan Malaysia sebelum kita mengiktiraf kerajaan Afghanistan.

"Tetapi sementara kerajaan itu belum diiktiraf, rakyatnya menderita dan perlu dibantu, itulah yang sedang kita lakukan,” katanya pada sidang akhbar misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini pada Selasa.

Misi yang berlepas Selasa terdiri daripada 12 anggota delegasi termasuk media itu akan berhenti di Hyderabad dan Islamabad bagi tujuan pengisian minyak serta logistik dan dijangka memasuki Kabul pada 23 Februari dan akan keluar setelah bantuan selesai disampaikan.

Misi bantuan kemanusiaan itu melibatkan sumbangan seberat lima tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan bernilai lebih RM1 juta selain bantuan berbentuk kepakaran dalam membantu membina dan membangun semula negara itu.

Sebelum ini, Afghanistan berada dalam keadaan bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved