
Perkataan “Chap Goh Mei” bukanlah suatu perkataan yang asing di negara kita tapi tahukah anda apakah “Chap Goh Mei” itu sebenarnya? Dalam Bahasa Mandarin, hari ke-15 Tahun Baru Cina dipanggil Yuan Xiao. Yuan, 元 maksudnya “permulaan” dan Xiao, 宵 ialah “malam”, makanya malam ini adalah “Malam Permulaan”. Kalau dalam Bahasa Inggeris, malam ini dipanggil “Lantern Festival”.

Berdasarkan sejarah, sambutan malam Chap Goh Mei ini disambut semenjak zaman Dinasti Han lagi (206SM – 220M) dimana sami-sami Buddha akan memasang tanglung pada malam ke-15 Tahun Baru Cina bagi menghormati Buddha dan menyambut bulan purnama (“full moon”) pertama pada tahun baru. Upacara dan adat ini diteruskan oleh orang Cina di China dan sebahagian besar Asia. Pada zaman moden ini, selain daripada memasang tanglung, malam ke-15 ini juga disambut dengan membakar mercun, membakar colok besar, bermain bunga api dan tarian singa atau tarian naga.
Kalau berdasarkan lagenda pula, malam ini berkisar tentang Dewa Langit (Yu Huang Shangdi) atau Ti Kong yang marah dengan suatu perkampungan kerana telah membunuh angsanya. Disebabkan amarahnya terhadap orang kampung di situ, baginda merancang untuk membakar perkampungan tersebut sebagai pengajaran buat mereka. Walaubagaimanapun, seorang pari-pari telah menyuruh orang kampung memasang tanglung yang banyak di perkampungan mereka pada malam baginda akan melampiaskan amarahnya. Maka, pada malam baginda turun dari langit untuk membakar perkampungan tersebut, baginda melihat tempat tersebut sungguh terang seakan-akan sudah terbakar maka baginda pun meninggalkan perkampungan tersebut kerana tertipu dengan tanglung-tanglung yang banyak. Sebagai tanda terima kasih, tanglung akan dipasang pada malam ke-15 Tahun Baru Cina untuk memperingati insiden ini.

Secara amnya, sambutan hari ke-15 ini adalah untuk memupuk sifat maaf-memaafi, kedamaian dan ketenangan sesama keluarga, jiran, dan rakan taulan. Maka, keluarga selalunya akan makan bersama-sama dan tangyuan pasti akan dihidangkan bersama-sama dengan makanan lain. Tangyuan adalah sejenis tepung beras pulut. Kebiasaannya diisi dengan bijan, dibulatkan dan dimakan dengan sup panas.
Ada juga suatu mitos yang menceritakan tentang dua wanita bujang suatu masa dahulu yang membuang buah oren ke dalam sungai dengan harapan akan bertemu jodoh yang baik. Tradisi ini masih diteruskan pada hari ini walaupun ia sudah tidak disambut dengan meriah seperti dahulu. Ada sesetengah wanita akan menulis nama dan nombor telefon di atas buah oren sebelum membuangnya ke sungai dengan harapan jejaka yang dijodohkan buat mereka akan menemui buah tersebut dan mencari mereka. Maka ia tidak mengejutkan apabila Chap Goh Mei juga dikenali sebagai “Valentine’s Day” buat orang Cina.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
