Queiroz bidas kenyataan Eto’o

2 Feb 2022 • 12:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PENGENDALI Mesir, Carlos Queiroz membidas kenyataan bekas bintang Cameroon, Samuel Eto’o yang menggesa kesebelasan The Indomitable Lions itu melihat aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 antara kedua pasukan ibarat sebuah ‘peperangan.’

Menurut Queiroz, Eto’o tidak sewajarnya membuat kenyataan sedemikian kerana dikhuatiri boleh menjejaskan momentum aksi separuh akhir berkenaan.

“Saya memohon kepada Eto’o untuk memperbetulkan semula kenyataan itu kerana jelas aksi separuh akhir ini bukannya satu ‘peperangan’ dan ia tidak akan menjadi satu ‘peperangan’ pun.

“Jika ‘peperangan’ yang dimaksudkan bertujuan untuk melindungi orang ramai yang mungkin mati di depan stadium, kekurangan sumber makanan..itulah maksud ‘peperangan.’

“Tetapi, dalam bola sepak ia tidak boleh dilabel begitu kerana bola sepak adalah ‘kegembiraan’ bagi semua orang,” katanya.

Queiroz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Eto’o baru-baru ini yang meminta kesemua pemain agar bersedia mengharungi perlawanan berkenaan kerana ia akan menjadi ibarat sebuah ‘peperangan’ dan pemain perlu beraksi seperti dalam sebuah ‘peperangan.’

Malah, Eto’o yang kini menjawat jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Cameroon membuat kenyataan agar barisan pemain memberikan segala-galanya pada aksi separuh akhir berdepan Mesir kali ini dan mengesahkan slot ke final.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Olembe pada Jumaat dalam usaha merebut slot beraksi di pentas final pada edisi AFCON kali ini.

Sementara itu Queiroz berkata, skuad kendaliannya kini sedang melakukan persiapan terakhir menjelang aksi separuh akhir berkenaan.

“Kita kini di peringkat terakhir melakukan persiapan untuk aksi final ini dan diharapkan semua urusan berjalan lancar dengan kesemua pemain mematuhi percaturan taktikal yang dibuat bagi menjamin kejayaan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved