Polis Sahkan OKT Mati Mengejut, Dalam Tahanan

21 Feb 2022 • 7:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan dari Pixabay

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bharu semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) berusia 49 tahun, sebelum ini ditahan dalam satu Operasi Pemutihan.

“Dia telah disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sedang menunggu sebutan semula kesnya pada 10 April depan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Azri berkata OKT dihantar ke Hospital Sultan Ismail pada 16 Februari lepas kerana mengadu sesak nafas, sebelum didapati tidak sedarkan diri di lokap pada pukul 7 pagi semalam.

“Pihak koroner telah hadir dan mengesahkan kematian OKT dan mayatnya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

“OKT dalam masa sama disahkan positif COVID-19, namun punca kematian masih belum diketahui selain bergantung pada analisa laporan dan ujian makmal patologi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. - Bernama