SOP baharu rumah ibadat

24 Feb 2022 • 12:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu bagi rumah ibadat Islam dan bukan Islam, berkuat kuasa Rabu.

Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di semua masjid dan surau dibenarkan bagi mereka yang divaksin sepenuhnya pada kapasiti 50 peratus dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

“Jemaah dalam kumpulan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai gejala Covid-19 seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan seumpamanya tidak dibenarkan hadir.

“Ahli kariah yang merupakan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Dalam Pemantauan (PUS Covid-19) juga tidak dibenarkan berada di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Tambahnya, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan berada di premis itu, melainkan ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi.

“Sekiranya ada jemaah yang disyaki atau disahkan positif Covid-19, pihak masjid atau surau hendaklah menjalankan kerja sanitasi sepenuhnya dan jemaah lain yang hadir perlu menjalani saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Masidi.

Jemaah tidak dibenarkan berkongsi peralatan sembahyang, dan perlu membawa sejadah sendiri, manakala jemaah wanita perlu membawa pakaian sembahyang (telekung) sendiri.

Masidi berkata, jemaah juga digalakkan membawa air wuduk sendiri dari rumah.

Bagi tempat ibadat bukan Islam, sesi sembahyang dibenarkan antara 6 pagi dan 10 malam sehingga maksimum dua jam, diselangi dengan kerja-kerja sanitasi 30 minit sebelum sesi seterusnya bermula.

Masidi berkata sesi hanya dibenarkan pada kapasiti 50 peratus premis tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter dan jemaah perlu membawa peralatan sembahyang sendiri.

“Hanya individu yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan berada di premis, manakala mereka yang mempunyai penyakit kronik, tidak divaksin/separa divaksin dan mengalami demam atau gejala tidak dibenarkan berada di premis,” kata Masidi.

Tambahnya, aktiviti sosial seperti kenduri-kendara, gotong-royong dan lain-lain dibenarkan pada kapasiti 50 peratus, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun hanya boleh hadir bersama ibu bapa atau penjaga yang telah tamat dua dos.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.