Pesakit Mental Libas Kerambit Dan Parang, 4 Polis Cedera

14 Feb 2022 • 6:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Salah seorang anggota polis mengalami kecederaan di kepala selepas ditetak oleh seorang lelaki disyaki pesakit mental di Kampung Sedar, Tumpat, semalam. - Gambar ihsan Polis

TUMPAT - Empat polis termasuk dua pegawai cedera di kepala dan beberapa bahagian badan selepas ditetak dengan parang serta kerambit oleh seorang lelaki disyaki pesakit mental, dalam kejadian di Kampung Sedar di sini, kelmarin.

Kejadian 8.30 malam itu memaksa keempat-empat mangsa, termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor berusia antara 20-an hingga 30-an dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, insiden tersebut berlaku ketika kesemua mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat cuba membuat tangkapan terhadap suspek yang berusia 36 tahun.

Katanya, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan, seorang lelaki mengamuk di sebuah rumah di belakang tangki air di Kampung Sedar di sini.

"Anggota polis dari Balai Polis Tumpat dan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika proses tangkapan, suspek yang bersenjatakan parang dan kerambit bertindak agresif hingga berlaku pergelutan dipercayai akibat daripada pengaruh dadah. Kejadian itu menyebabkan dua Inspektor, seorang Koperal dan seorang Lans Koperal mengalami kecederaan," katanya.

image is not available
Salah seorang anggota polis yang mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat ditetak oleh seorang lelaki dipercayai pesakit mental.

Mohd Azmir berkata, seorang Inspektor cedera dan mengalami kesan calar anggaran 10 sentimeter (cm) di belakang badan, manakala rakan sejawatannya luka di lengan sepanjang lima cm dan menerima lapan jahitan. 

"Selain itu, seorang anggota berpangkat Koperal cedera di kepala dengan kesan luka sepanjang sembilan cm dan seorang Lans Koperal luka di tangan sepanjang dua cm. 

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang juga orang kelainan upaya (OKU) mental itu mendapati dia positif dadah jenis metafetamin dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 379(A)  Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

"Pihak kita juga merampas sebilah parang dan sebilah kerambit masing-masing dianggarkan berukuran 59 cm tujuh cm untuk siasatan lanjut," katanya.

Suspek jelas beliau lagi, direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mohd Azmir terdahulu menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Balai Wakaf Bharu Tumpat antara Sub Inspektor Abd Halim Shafai dengan Sarjan Mejar Mohd Sakri Abdul Ghani di Balai Wakaf Bharu, di sini, hari ini. - Getaran, 14 Februari 2022