#TahukahAnda Manfaat dan Khasiat Daun Bidara?

Health & Fitness
24 Feb 2022 • 11:30 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Pokok bidara
Sumber: ImpianaMY

Pernahkah anda mendengar tentang pokok bidara? Pokok bidara atau nama saintifiknya Ziziphus mauritiana adalah merupakan pokok malar hijau dari keluarga Rhamnaceae. Pokok ini asalnya dari kepulauan Indo-Malaya di Asia Tenggara namun kini tersebar ke banyak kawasan tropika dan sub-tropika łain seperti Afrika Selatan, India, Timur Tengah dan Australia.

Pokok bidara adalah sejenis pokok berduri yang boleh membesar sehingga 15 meter dan batangnya boleh melebar sehingga 40 sentimeter atau lebih (diameter). Buahnya pula ada pelbagai saiz dan bentuk. Ada buah yang berbentuk bulat, bujur, bujur telur atau melonjong. Isinya putih dan sedikit rangup tetapi sebelum ia ranum, isinya sedikit berair dan baunya harum.

Kalau anda perasan, ada penjual yang menjual jus bidara di pasaran kerana buah pokok ini mempunyai khasiat dan manfaatnya sendiri. Mungkin ada penjual yang “oversell” tapi setakat ini, beberapa khasiat dan manfaat di bawah ini memang diakui keberkesanannya oleh pengguna-pengguna sebelum ini. Apakah khasiat-khasiat tersebut?

Daun bidara
Sumber: Klikdokter

  • Merawat rambut dan kulit kepala

Bagi merawat rambut dan kulit kepala daripada masalah keguguran rambut, ada petua yang menyuruh mengambil beberapa helai daun bidara dan merebusnya sehingga air rebusan itu kurang separuh. Selepas air rebusan tersebut sejuk, tapis dan masukkan ke dalam botol kecil dan gunakan air tersebut seperti tonik rambut. Gosok ke seluruh kulit kepala selepas rambut dicuci untuk mendapatkan rambut yang sihat, tebal, dan kuat.

  • Membantu mengurangkan ulser atau masalah mulut

Air rebusan daun bidara juga boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan ulser di dalam mulut dan sekaligus menghapuskannya. Ini boleh dilakukan dengan berkumuh-kumuh dengan air rebusan daun bidara dua kali sehari (siang dan malam) sekiranya ada ulser. Ia juga dikatakan dapat membantu mengatasi masalah bibir kering atau bau-bauan yang kurang enak. Ini mungkin kerana daun bidara adalah sejenis antioksida, oleh itu ia mempunyai khasiat-khasiat ini.

  • Menghilangkan jerawat

Selain daripada merupakan sejenis antioksida, daun bidara juga mempunyai kandungan antibakteria yang dapat membantu menghilangkan jerawat. Caranya ialah dengan mengambil beberapa daun bidara lalu ditumbuk sehingga lumat. Kemudian, campurkan daun yang ditumbuk tadi dengan beberapa titis air atau sedikit jus perahan lemon sehingga ia menjadi sedikit lekit dan kemudian disapu di permukaan yang ditumbuhi jerawat. Selepas beberapa minit (atau selepas ia kering), bilas muka dengan air suam. Cara ini harus diulang 3 hingga 4 kali seminggu selama sebulan. InsyaAllah hilang jerawat dan kulit tidak akan berbekas.

  • Melambatkan penuaan

Sama seperti langkah diatas, daun bidara yang ditumbuk lumat dicampurkan dengan beberapa titis jus lemon, diletakkan ke seluruh muka dan dibiarkan kering. Kemudian, bilas muka dengan air suam dan lakukan perkara ini 2 kali seminggu untuk menghaluskan kulit dan mengurangkan garis-garis dan kedutan pada kulit. Ada juga dijual serbuk daun bidara di pasaran dan mungkin bila menggunakan serbuk, lebih mudah pengurusannya.

  • Mempercepatkan penyembuhan luka

Seperti yang dikatakan diatas, daun bidara mempunyai kompaun antibakteria dan anti radang. Kedua-dua kompaun ini akan membantu mempercepatkan penyembuhan luka pada kulit. Selain itu, daun bidara juga mempunyai glikosida yang dapat menghilangkan bekas luka atau menyembuhkan luka bakar. Caranya ialah dengan menumbuk lumat daun bidara, dicampur dengan air dan ditampal ke bahagian luka ataupun meminum air rebusan daun bidara setiap hari dan lihatlah perubahannya pada diri anda!

  • Menurunkan kolestrol

Air rebusan daun bidara dikatakan dapat menurunkan kolestrol jahat dalam badan atau LDL (low-density lipoprotein). Serat yang terdapat dalam air rebusan daun bidara dikatakan boleh mengikat kolestrol dalam sistem pencernaan badan dan mengeluarkannya melalui pembuangan air besar.

  • Menyembuhkan masalah pencernaan

Bagi mereka yang mempunyai masalah kembung perut, asid perut atau sembelit, air rebusan daun bidara dikatakan dapat membantu menyembuhkan masalah tersebut. Anda hanya perlu meminum air rebusan daun bidara secara rutin dan lihat perubahannya. Ada juga beberapa orang yang pernah mempunyai masalah buasir mengatakan bahawa daun bidara juga dapat menyembuhkan buasir. Caranya ialah dengan meletakkan daun bidara yang sudah dicuci bersih di atas dubur, biarkan seketika dan lakukan perkara ini secara rutin. Kompaun di dalam daun tersebut boleh membantu mengecutkan buasir dan mengurangkan kesakitan di dubur.

Terdapat banyak khasiat dan manfaat lain yang dikongsikan di dalam talian tentang daun bidara tetapi saya hanya kongsikan 7 manfaat dan khasiat untuk pembacaan kali ini. Daun bidara sudah lama digunakan sebagai salah satu ubat-ubatan herba dari zaman dahulu lagi. Cuma, perlu lebih kajian dari segi saintifik untuk membuktikan ia benar-benar berkesan untuk orang ramai.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.